Wednesday 11 June 2014

45 penentang maut


Pertempuran terbaru antara kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) dan pakatan kumpulan penentang serta sayap al-Qaeda di timur Syria menyebabkan 45 orang terbunuh.

ISIL yang ditubuhkan bekas sekutu al-Qaeda di Iraq berdepan tindak balas hebat daripada kumpulan penentang Syria yang lain sejak awal tahun ini dan terpaksa bertempur dengan pakatan termasuk Barisan Al-Nusra.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, pertempuran yang tercetus di bandar Khosham di wilayah timur Deir Ezzor kelmarin menyebabkan 17 anggota Al-Nusra dan 28 pejuang ISIL maut.

ISIL pada awalnya mendapat sokongan kumpulan penentang, tetapi pendekatannya yang ganas atas nama Islam dan kekerasannya terhadap orang awam serta pejuang dari kumpulan lain menyebabkan mereka dipinggirkan.

Ketua al-Qaeda mengarahkan kumpulan itu untuk kembali ke Iraq kerana Al-Nusra juga menentang mereka.



Pertempuran dengan ISIL menyebabkan kira-kira 6,000 nyawa terkorban - sesuatu yang merugikan dalam perjuangan menentang rejim Bashar - sejak ia bermula Januari tahun ini.

Di kawasan lain di negara itu, pemerhati hak asasi itu yang berpangkalan di London berkata, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh akibat diseksa di pangkalan tentera Bashar di Damsyik.

Mereka yang ditangkap sering ditahan di pangkalan berkenaan untuk disiasat sebelum dipindahkan ke penjara.

Pemerhati berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan oleh rejim Bashar dan mereka diminta mengambil mayat ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu di Damsyik, Presiden Bashar al-Assad semalam mengumumkan “pengampunan beramai-ramai ke atas semua tahanan di negara itu.

Pengumuman itu disiarkan stesen televisyen tanpa mengulas lanjut mengenainya.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada tahanan itu akan dibebaskan.

Sebelum ini, kerajaan Bashar sering memberi pengampunan untuk kesalahan tertentu.

Ia bagaimanapun disifatkan sebagai usaha untuk menunjukkan sikap baik pemimpin Syria itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

No comments:

Post a Comment