Wednesday 11 June 2014

ISIL tawan Mosul


Mosul: Kumpulan penentang Iraq semalam menawan sebahagian besar wilayah ini, termasuk sebuah pangkalan tentera.

Anggota Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) juga bertindak membebaskan ratusan tahanan dalam serangan besar-besaran itu.


Kumpulan itu bersama-sama beberapa kumpulan yang bersekutu dengannya menawan Mosul selepas pertempuran sengit selama empat hari di bandar itu dan di beberapa bandar lain di utara Iraq.

Ia memberi tamparan hebat kepada usaha kerajaan Iraq memerangi kumpulan penentang yang kembali bertapak sejak tahun lalu.


ISIL juga menguasai sebahagian besar wilayah timur Syria selepas perang saudara meletus di negara itu tiga tahun lalu.


Dalam kejadian di Mosul, pasukan keselamatan Iraq berkata, kumpulan terbabit yang dilengkapi senjata antipesawat dan pelancar roket menguasai hampir semua balai polis dan pos kawalan tentera.

“Mosul kini dikuasai kumpulan penentang. Polis dan tentera meninggalkan lokasi mereka dan ISIL menguasai sepenuhnya kawasan itu. Pasukan keselamatan lumpuh sepenuhnya,” kata seorang pegawai tentera Iraq.

Dua tentera Iraq berkata, pasukan keselamatan menerima arahan meninggalkan bandar itu selepas kumpulan pejuang menawan pangkalan tentera Ghizlani di selatan Mosul.

Tentera dan polis yang berundur membakar depo simpanan senjata dan peluru bagi mengelak ia jatuh ke tangan penentang.

Sumber polis dan kerajaan tempatan memberitahu, ISIL juga menyerang penjara dan membebaskan lebih 1,000 tahanan yang kebanyakannya anggota kumpulan itu.

Perkembangan itu menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing untuk menuju ke wilayah autonomi Kurdis yang bersempadan dengan Niveneh.

Seorang penduduk yang turut melarikan diri bersama anaknya, Amina Ibrahim berkata: “Mosul kini seperti neraka. Semuanya terbakar. Suami saya mati dalam serangan bom tahun lalu. Saya tidak mahu anak saya mengalami nasib sama.”

Kelmarin, gabenor wilayah, Atheel Nujaifi melalui siaran televisyen menggesa penduduk Mosul bangkit menentang kumpulan penentang itu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

No comments:

Post a Comment