Wednesday 24 September 2014

AS, sekutu serang kedudukan IS di Syria


Gambar bertarikh 29 Mac 2011, menunjukkan kapal pemusnah kelas Arleigh Burke, USS Barry melancarkan peluru berpandu Tomahawk seperti yang digunakan untuk menggempur kedudukan IS di Syria, semalam. - AFP
WASHINGTON 23 Sept. - Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dari negara-negara Arab, buat kali pertama melancarkan berpuluh-puluh serangan udara untuk menggempur kedudukan militan Negara Islam (IS) di Syria ketika kumpulan pelampau itu membunuh 40 tentera dan menawan lebih 70 askar di sebuah kem tentera di Iraq.
Media AS melaporkan, lima negara Arab yang tidak didedahkan itu turut mengambil bahagian dalam serangan terbabit yang melibatkan penggunaan sejumlah pesawat pejuang, pesawat pengebom dan peluru berpandu Tomahawk.
Namun stesen rangkaian berita ABC yang memetik sumber diplomatik AS melaporkan, lima negara Arab terbabit adalah Bahrain, Jordan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Pusat Perintah Tentera AS dalam kenyataannya berkata, serangan terbabit dilancarkan dari kapal perang dan kapal pengangkut pesawat yang ditempatkan di Laut Merah dan Laut Parsi.
Menurut Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, tentera perikatan antarabangsa itu melancarkan kira-kira 50 serangan ke atas kubu IS di tiga wilayah termasuk Raqqa, utara Syria yang ditawan oleh kumpulan militan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Jelas pertubuhan tersebut, lebih 70 anggota IS dipercayai terbunuh selepas dua kedudukan militan di Tabqa, Ain Eissa dan Tal Abyad digempur dalam serangan tentera bersekutu yang turut memusnahkan sejumlah kenderaan.
"Selain itu, AS melancarkan lebih 22 serangan ke atas militan Barisan Nusra yang dikaitkan dengan al-Qaeda di wilayah Idlib dan Aleppo yang terletak di barat laut Syria, menyebabkan kira-kira 50 anggota kumpulan itu maut" jelas laporan itu.
Dalam pada itu, kerajaan Syria mengesahkan, AS telah memaklumkan terlebih dahulu kepada Damsyik untuk melancarkan serangan udara di wilayahnya.
Sementara itu di Iraq, militan IS melancarkan serangan berani mati ke atas kem tentera di barat Baghdad, menyebabkan 40 askar terbunuh dan 70 lagi ditawan.
Pegawai kanan tentera Iraq, Jeneral Rashid Fleih berkata, empat pengebom berani mati meletupkan beberapa buah kenderaan berperisai selepas merempuh masih kem di Saqlawiyah, manakala dua lagi anggota militan meletupkan diri menggunakan bahan letupan yang dipasang pada badan mereka. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_01/AS-sekutu-serang-kedudukan-IS-di-Syria#ixzz3EDmqmUuJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment