Wednesday 24 September 2014

AS serang kedudukan IS di Syria



SEORANG wanita Kurdis melarikan diri dari ditembak meriam air selepas menyertai tunjuk perasaan bagi membantah tindakan pihak berkuasa Turki menutup pintu sempadan ke Syria di Suruc, Turki kelmarin.- AFP


SURUC, Turki - Tentera Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutunya mula melancarkan serangan udara pertama mereka ke atas kedudukan militan Negara Islam (IS) di Syria kelmarin ketika pertempuran antara kumpulan itu dan pejuang Kurdis berhampiran sempadan Turki menyebabkan puluhan ribu penduduk melarikan diri.
Setiausaha Akhbar Pentagon, John Kirby memberitahu, kombinasi beberapa jet pejuang, pesawat pengebom dan peluru berpandu Tomahawk telah dilancarkan daripada beberapa buah kapal perang di rantau itu yang disasarkan kepada IS.
"Memandangkan operasi ketenteraan sedang berjalan, tiada maklumat dapat diberikan. Keputusan serangan tersebut dibuat awal Isnin lalu oleh tentera," ujar Kirby.
Serangan udara itu adalah sebahagian daripada kempen ketenteraan yang diperluaskan selepas Presiden AS, Barack Obama memberi arahan untuk memusnahkan militan IS sejak dua minggu lalu.
AS telah pun melancarkan 190 serangan udara terhadap IS di Iraq sejak kempen udara bermula 8 Ogos lalu.
Sementara itu, serangan IS terhadap bandar Kobani di Syria yang terletak beberapa kilometer dari sempadan telah menyebabkan 130,000 penduduk menyelamatkan diri dengan memasuki Turki sejak beberapa hari lalu.
Dalam pada itu, beratus-ratus penduduk Kurdis di bandar Suruc, Turki yang terletak berhampiran sempadan Syria telah bertempur dengan pihak polis kerana menghalang mereka untuk menyeberang ke Syria dan membantu saudara-mara mereka di sana.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Azam berkata, dia mahu menyertai pejuang Kurdis di Syria.
"IS bergerak bebas di sempadan dan membunuh ramai orang yang tidak berdosa, tetapi mereka (pihak berkuasa Turki) hanya duduk dan melihat ia berlaku.
"Jika saya ada peluang mendapatkan senjata, saya akan pergi membantu saudara saya di sana," tutur Azam yang berusia 18 tahun. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3EDoTKhZZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment