Thursday 27 November 2014

95 korban serangan udara

LAGI mayat mangsa ditemui di tepi jalan di sekitar bandar Raqqa.
Beirut : Jumlah kematian akibat satu siri serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Syria terhadap kubu kuat kumpulan Negara Islam (IS) di timur laut negara itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 95 orang.
Ia menjadikan serangan berkenaan yang paling buruk di bandar Raqqa sejak tiga tahun lalu.
Sebahagian daripada serangan berkenaan itu menyasarkan sebuah pasar popular berhampiran sebuah muzium dan kawasan perindustrian di bandar yang terletak di sepanjang Sungai Furat, menyebabkan ramai orang awam mati.
Pengarah Kumpulan Pemerhati bagi Hak Asasi Syria, Rami Abdurrahman berkata, antara yang terbunuh ialah 52 orang awam, termasuk tiga wanita dan empat kanak-kanak.
“Sekurang-kurangnya 120 orang cedera dalam serangan berkenaan,” kata kumpulan yang berpusat di London itu.
Aktivis lain, termasuk Jawatankuasa Penyelaras Tempatan menganggarkan lebih 100 orang terbunuh.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan jumlah militan IS yang mati.
Kerajaan Syria dan kumpulan negara yang diketuai Amerika Syarikat sering mengebom sasaran IS di Raqqa.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca serangan besar-besaran yang luar biasa itu dilakukan tentera Syria.
IS sebelum ini didakwa membunuh beratus-ratus askar Syria sejak beberapa bulan lalu dan baru-baru ini menerbitkan video menunjukkan apa yang dikatanya pemenggalan puluhan tentera yang setia dengan Presiden Bashar al-Assad, termasuk pegawai.
IS menguasai sepertiga Syria dan Iraq dan mengisytiharkan wilayah itu sebagai sebahagian negara ‘khalifah’ mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:07 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12114#sthash.ykGtc70P.dpuf

No comments:

Post a Comment