Friday 14 November 2014

Singkir Bashar untuk tewaskan IS


BASHAR


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mahu para penasihatnya mengkaji semula dasar Washington terhadap Syria selepas mendapati mustahil untuk menewaskan kumpulan militan Negara Islam (IS) tanpa menyingkirkan presiden negara itu, Bashar al-Assad, lapor agensi berita CNN semalam.
CNN yang memetik pegawai kanan AS berkata, pasukan keselamatan kebangsaan AS mengadakan empat mesyuarat pada minggu lalu bagi membincangkan strategi yang sesuai bagi menentang IS yang kini menguasai sebahagian besar Syria dan Iraq.
“Obama meminta kami supaya mengkaji semula strategi yang sesuai untuk menewaskan IS di kedua-dua negara tersebut.
“Secara realitinya, untuk kami benar-benar menewaskan IS, kami bukan sahaja mesti menewaskan kumpulan militan itu di Iraq tetapi juga di Syria,” kata pegawai berkenaan.
Sementara itu, seorang pegawai Majlis Keselamatan Kebangsaan memberitahu Reuters, strategi berkenaan akan menghormati pentadbiran Syria.
Katanya, dalam mesyuarat itu Obama menekankan bahawa Bashar sudah hilang kelayakan untuk mentadbir Syria.
“Kami bekerjasama dengan negara-negara sekutu bagi menguatkan pengaruh kumpulan pembangkang sederhana di Syria sebagai salah satu usaha untuk menyingkirkan Bashar,” ujarnya.
Tambahnya, pasukan itu juga sedang mempertimbang cara terbaik bagi melaksanakan strategi yang dirangka Obama untuk menentang IS di Iraq dan Syria melalui beberapa usaha secara ketenteraan dan berbentuk tanpa ketenteraan.
“Fokus utama ketika ini ialah mengusir militan IS dari Iraq dan kami serta negara sekutu juga akan meneruskan serangan udara terhadap kumpulan itu di Syria bagi menghalang mereka menguasai lebih banyak kawasan,” katanya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3J0pjNuts 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment