Wednesday 31 December 2014

Ratusan tahanan mogok lapar

Ratusan tahanan mogok lapar | Harian Metro: "Ratusan tahanan mogok lapar
AFP
Beirut: Ratusan tahanan di sebuah penjara di Syria melancarkan mogok lapar untuk menuntut pembebasan mereka.

Tahanan itu yang ditahan di Homs, tengah Syria, termasuk mereka yang ditahan kerana mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan apabila konflik meletus hampir empat tahun lalu.

“Secara umum, lebih 1,000 tahanan mengambil bahagian dalam mogok lapar itu yang kami mulakan empat hari lalu,” kata seorang tahanan yang enggan dikenali kepada AFP menerusi telefon.

“Kami ingin tahu nasib kami dan kami menuntut pembebasan,” katanya.

Sebahagian mereka dipenjara sehingga 30 tahun kerana menunjuk perasaan secara aman. Ada yang tidak tahu berapa lama mereka akan ditahan.

Kumpulan pemerhati hak asasi Syria (SOHR) yang berpejabat di Britain mengesahkan mogok lapar itu dilancarkan di penjara di Homs.

SOHR yang bergantung kepada sumber di Syria untuk memperoleh maklumat berkata, sebahagian besar tahanan sudah menamatkan hukuman mereka dan menanti untuk dibebaskan.

Mogok itu juga dilakukan sebagai membantah layanan buruk oleh pengawal penjara dan kekurangan makanan serta ubat.

Rejim Syria di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad memenjarakan kira-kira 200,000 orang sejak Mac 2011 apabila tunjuk perasaan menuntut penggulingan kerajaannya bermula.

Ia bertukar menjadi konflik bersenjata antara pemberontak dengan tentera kerajaan selepas rejim itu bertindak ganas untuk menamatkan tunjuk perasaan berkenaan.

Menurut SOHR, 12,000 tahanan mati di penjara sejak konflik itu meletus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:04 AM"



'via Blog this'

No comments:

Post a Comment