Wednesday 31 December 2014

Simpati nasib Syria alasan sertai IS

Apa itu IS?

Simpati nasib Syria alasan sertai IS - Semasa - Sinar Harian: "KUALA LUMPUR - "Bukan kamu seorang sahaja simpati dengan apa yang berlaku di Syria. Seluruh umat Islam bersimpati dan saya juga bersimpati sebagai seorang Islam.

"Kalau simpati kenapa perlu nak ke sana? Nak menyertai kumpulan pengganas? (kumpulan militan Islamic State)," tanya Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim sebelum menolak pengakuan bersalah seorang peniaga runcit atas tuduhan hendak menjadi ahli kumpulan militan tersebut.

Terdahulu, tertuduh Mohd Rosmadi Che Daud, 42, tidak setuju dengan fakta kes yang menyatakan dia "membuat persiapan menyertai" kumpulan tersebut.

"Saya hanya simpati rakyat Syria mati dibunuh tanpa belas kasihan dan tak berniat langsung menyertai IS," kata Mohd Rosmadi sambil menitiskan air mata.

Kamardin berkata mesti ada tujuan tertuduh hendak ke Syria dan setakat simpati tidak perlu ke sana, sebelum menolak pengakuan bersalahnya dan menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes yang dibacakan di Mahkamah, Mohd Rosmadi ditahan pada 25 Sept yang lalu bersama-sama beberapa orang yang lain di Balai Perlepasan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ketika tertuduh hendak mendaftar masuk bagi penerbangan Qatar Airways ke Istanbul, Turki.

Mohd Rosmadi yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan, menghadapi pertuduhan utama, hendak menjadi ahli kepada kumpulan IS.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun, atau denda dan harta yang telah digunakan atau niat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan tersebut, boleh dirampas.

Bagi pertuduhan pilihan, Mohd Rosmadi menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan tersebut dan didakwa di bawah seksyen yang sama.

Tertuduh diwakili peguam Arik Zakri Abdul Kadir dan Ahmad Kamal Abu Bakar manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Shukor Abu Bakar. - Bernama"



'via Blog this'

No comments:

Post a Comment