Saturday 3 January 2015

Syarat kumpulan penentang sebelum berunding

Beirut: Sebuah kumpulan pembangkang baru Syria yang dikaitkan dengan ulama terkemuka semalam berkata Presiden Bashar al-Assad perlu melepaskan jawatannya untuk menyelesaikan perang saudara yang melanda negara itu.
Ia bertujuan memudahkan rundingan damai yang dijadualkan di Moscow, bulan ini.
Bekas ketua pembangkang yang juga bekas imam Masjid Umayyad di Damsyik, Moaz al-Khatib, mengeluarkan kenyataan dalam akaun Facebooknya semalam mengatakan penyelesaian tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya ketua regim berkenaan tidak berundur dari jawatannya.
Moaz berkata, kenyataan itu dikeluarkan bagi pihak pertubuhan Syria, al-Watan dan ditujukan kepada rakyat Syria.
Menurutnya, perbincangan hanya boleh dilakukan secara serius jika mereka mengarahkan kerajaan menghentikan serangan kejam ke atas rakyat Syria yang dianggap sebagai ‘jenayah paling besar dalam sejarah kemanusiaan.’
Bashar berulang kali menolak cadangan Khatib dan pemimpin penentang yang lain serta negara Arab dan Barat supaya dia meletakkan jawatan.
Negara Barat dan Arab yang berusaha membantu menamatkan sengketa bersenjata di negara itu menganggap Bashar sudah tidak lagi relevan dan tidak dihormati oleh rakyat Syria.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Russia selaku sekutu Bashar berusaha menemukan kerajaan Syria dan penentangnya pada hujung bulan ini bagi membincangkan cara menamatkan konflik hampir empat tahun itu yang sudah mengorbankan 200,000 orang.
Kerajaan Syria mendakwa perjuangannya dilakukan terhadap militan yang dibiayai negara luar.
Bashar semalam melawat tenteranya di daerah Damsyik dan memuji mereka yang sanggup berjuang untuk membanteras keganasan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:02 AM


PRESIDEN Syria Bashar al-Assad (tengah) memberi kata semangat kepada askar yang setia kepadanya ketika melawat kedudukan mereka di Jobar, timur laut Damsyik, kelmarin.
- Lihat lebih lanjut di: http://www.hmetro.com.my/node/21115#sthash.5JSDf1A7.dpuf

No comments:

Post a Comment