SEPASANG kembar Zahra dan Salma Halane, 17, dari Chorlton, Manchester, yang pergi ke Syria untuk menjadi pengantin jihadi memuat naik gambar mereka sedang menjalani latihan menembak di laman Twitter.

Mereka dilihat memakai pakaian berwarna hitam penuh, lengkap dengan niqab sambil memegang senapang Kalashnikov.

“Hari latihan yang seronok untuk mempertahankan diri bersama adik dan kakak yang lain,” menurut status akaun Twitter yang dipercayai milik Zahra.

Zahra dan Salma meninggalkan rumah mereka Jun lalu dan didakwa telah berkahwin dengan anggota IS di bandar Raqqa, Syria.

Mereka bagaimanapun memberitahu bahawa kedua-dua lelaki yang dikahwini telah mati syahid dalam peperangan di negara itu.

Pasangan yang mempunyai 28 Sijil Am Pelajaran Menengah (GCSE) dan merancang menjadi doktor itu baharu sahaja menamatkan tahun pertama di Connell Sixth Form College sebelum terpedaya dengan kumpulan terbabit melalui Internet.