IS merampas kawalan hampir keseluruhan kem Yarmuk sejak beberapa hari lalu selepas menewaskan kumpulan militia yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad.
“Kami enggan terbabit dalam sebarang kempen bersenjata tanpa mengira apa puncanya dan kami mahu cara lain diambil bagi mengelak pertumpahan darah, selain menghalang lebih banyak kemusnahan dan kehilangan tempat tinggal,’’ kata PLO dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan di Ramallah.
Terdahulu, anggota jawatankuasa eksekutif yang dihantar ke Damsyik oleh PLO untuk membincangkan krisis tersebut, Ahmad Majdalani berkata, beliau menyokong sera­ngan tentera Syria untuk mengambil balik kawalan kem tersebut.
Kelmarin, sebanyak 14 sayap pergerakan Palestin yang mengadakan pertemuan di Damsyik, men­yatakan sokongan untuk menyertai operasi ketenteraan dengan kerajaan Syria bagi memerangi IS.
Dalam pada itu, Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon melahirkan kebimbangan berhubung ke­se­lamatan kira-kira 18,000 penduduk Palestin yang masih terperangkap di kem pelarian tersebut.
Beliau menggesa tindakan diambil bagi menghalang pembunuhan penduduk di kem tersebut.
“Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan menyaksikan pembunuhan besar-besaran berlaku,’’ katanya di New York. – AFP