RIYADH - ARAB SAUDI. Kumpulan militan IS didakwa telah menguasai kawasan lintasan sempadan terakhir yang menghubungkan Syria dengan Iraq, menurut media tempatan, kelmarin.

Menurut laporan Al-Arabiya, saluran berita al-Arabiya melaporkan satu kebakaran tercetus di kawasan sempadan al-Waleed selepas tentera Iraq bertindak menyekat akses di laluan terbabit.

Langkah itu diambil selepas IS  semakin mara hingga menyebabkan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad berundur dari wilayah Homs.

Sementara itu, jurucakap IS mengesahkan bahawa mereka telah menawan kawasan lintasan sempadan itu yang terletak kira-kira 240 kilometer dari Palmyra.

Selain itu, kumpulan militan tersebut turut menguasai lintasan sempadan yang menghubungkan wilayah Deir al-Zor di Syria dengan wilayah Anbar di Iraq.

Susulan itu, IS telah mengisytiharkan kawasan dikuasai mereka di wilayah tersebut sebagai 'lintasan sempadan khalifah'.

Dalam perkembangan berkaitan, IS dilaporkan telah mengetatkan cengkaman mereka di bandar purba Palmyra selepas berjaya menguasai pertahanan kerajaan Iraq di timur Ramadi.

Ia sekaligus memberi tamparan hebat kepada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang didakwa gagal memerangi IS di kedua-dua negara terbabit berikutan operasi ketenteraan dilancarkan sejak beberapa bulan lalu masih tidak berjaya menyekat kemaraan IS di rantau berkenaan.

Dalam satu kenyataan lain, kumpulan pemerhati hak asasi manusia mendakwa IS telah menguasai lebih sebahagian wilayah di Syria.