BEIRUT - LEBANON. Kumpulan militan IS didakwa telah menguasai lebih separuh daripada wilayah Syria selepas mereka mara ke bandar Palmyra, menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW), semalam.

Jurucakapnya memaklumkan IS berjaya merampas bandar purba di tengah wilayah Homs tersebut daripada kawalan tentera kerajaan, lewat kelmarin selepas melancarkan serangan ganas sejak beberapa hari lalu.

"Mereka turut menguasai kawasan yang tidak didiami penduduk selain bandar utama di Syria," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman mengesahkan IS telah menawan satu pertiga daripada Palmyra untuk tempoh kali kedua selepas mereka menguasai utara bandar purba terbabit.

Susulan daripada itu, ribuan penduduk telah dipindahkan selepas situasi semakin meruncing akibat kemaraan IS.

Dalam satu kenyataan lain, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak untuk melindungi bandar Palmyra yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh agensi tersebut.

"Pihak terlibat perlu menghormati kewajipan antarabangsa untuk melindungi tinggalan sejarah walaupun ketika konflik tercetus," tegas Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova.

Dalam perkembangan berkaitan, ratusan artifak dari muzium Palmyra telah dipindahkan dari bandar tersebut sebagai langkah berjaga-jaga. - Reuters