Kumpulan militan IS kini dilaporkan menguasai timur dan utara Syria, kawasan yang bukan merupakan lokasi utama penduduk seperti di Damsyik dan beberapa bandar utama lain yang kebanyakannya berada di bahagian barat negara ini iaitu berhampiran dengan sempadan Lebanon.
Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdulrahman berkata, IS kini menguasai pangkalan tentera udara, penjara dan ibu pejabat unit risikan di bandar Palmyra, selepas melancarkan serangan besar-besar, semalam.
Kata Rami, berdasarkan maklumat sumber terdekat sekurang-kurangnya 100 askar kerajaan terkorban dalam pertempuran tersebut.
Namun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada berlaku sebarang kemusnahan ke atas tinggalan sejarah di bandar itu.
Rangkaian televisyen Syria lewat malam semalam melaporkan, pasukan keselamatan pro-kerajaan berjaya melarikan diri selepas berjaya mengeluarkan kebanyakan penduduk di bandar berkenaan.
“Serangan kumpulan militan IS di Palmyra bertujuan untuk membalas dendam terhadap masyarakat dan ketamadunan Syria,” kata Ketua Jabatan Antik Syria, Maamoun Abdulkarim.
Maamoun berkata, sebelum ini beratus-ratus monumen telah dipindahkan ke tempat yang selamat, namun beliau bimbang IS akan memusnahkan muzium dan monumen besar yang masih berada di bandar berkenaan.