Friday 22 May 2015

IS kuasai Palmyra

Beirut: Kumpulan militan Negara Islam (IS) dilapor memasuki bandar purba Palmyra di Syria selepas menguasai sepenuhnya bandar berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini, belum ada laporan kumpulan berkenaan memusnahkan antikuiti di bandar itu.
Pengarah kumpulan pemerhati Syria bagi Hak Asasi yang berpusat di Britain, Rami Abdulrahman berkata, IS menguasai pangkalan udara tentera dan penjara bandar berkenaan selepas melancarkan serangan besar-besaran, Rabu lalu.
Dalam kenyataan yang dimuat naik ke Twitter oleh penyokongnya, IS berkata, ia kini menguasai sepenuhnya bandar berkenaan, termasuk kemudahan tentera selepas tentera dan milita prokerajaan berundur dengan meninggalkan sejumlah besar mayat rakan mereka yang terbunuh.
Menurut Abdulrahman, sekurang-kurangnya 100 militan prokerajaan terbunuh sepanjang pertempuran, kelmarin.
Ini kali pertama IS menawan secara langsung sebuah bandar daripada tentera Syria dan penyokongnya.
Kumpulan itu memusnahkan antikuiti dan monumen purba di Iraq dan wujud kebimbangan ia akan melakukan perkara serupa di Palmyra, antara kawasan purba Warisan Dunia terpenting di Asia Barat.
Serangan besar-besaran ke atas bandar itu yang bermula seminggu lalu adalah sebahagian daripada kemaraan IS ke barat Syria.
Kejatuhan Palmyra berlaku beberapa hari selepas IS menawan Ramadi, ibu negeri Anbar, wilayah di Iraq, sekali gus memberi tamparan kepada usaha Amerika Syarikat untuk menumpaskan kumpulan berkenaan.
Menurut Rami, IS kini menguasai lebih separuh wilayah Syria.
Televisyen Syria semalam melaporkan, tentera kerajaan berundur dari Palmyra selepas berjaya memindahkan hampir semua penduduk awamnya.
Gabenor wilayah Homs yang termasuk Palmyra, Talal Barazi berkata, kebanyakan penduduk bandar purba itu melarikan diri ke bandar Homs dan Damsyik.
Monumen purba Palmyra atau dikenali Tadmur terletak di pinggir barat daya bandar modennya dan dimasukkan dalam ‘senarai dalam bahaya’ oleh Warisan Dunia UNESCO pada 2013.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:48 AM


MAYAT bergelimpangan dipercayai penduduk Palmyra yang dibunuh militan IS selepas mereka menawan bandar itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52615#sthash.Av1B1ZWx.dpuf

No comments:

Post a Comment