Jurucakap kumpulan penentang berkata, perikatan Barisan Selatan menawan pangkalan Briged 52 di wilayah Daraa, selepas berlaku pertempuran sengit hampir 24 jam dengan tentera kerajaan.
“Pangkalan Briged 52 kini ditawan sepenuhnya daripada tentera kerajaan,” ujar Mejar Essam al-Rayes, sambil menambah kata, kira-kira 2,000 anggota bersenjata kumpulan penentang menyertai serangan ‘singkat dan cepat’ itu.
Pangkalan itu terletak berhampiran lebuh raya utama menghubungi Damsyik ke sempadan selatan Syria dengan Jordan dan juga berhampiran sempadan hadapan dengan wilayah Sweida, yang sebahagian besar dikuasai tentera Syria.
“Pangkalan ini merupakan satu daripada barisan pertahanan utama tentera Syria. Mereka menggunakan pangkalan ini untuk melindungi kesemua kawasan di timur wilayah Daraa,” ujar Essam.
Katanya, kumpulan penentang akan melancarkan serangan lanjut dari pangkalan itu tidak lama lagi.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan kumpulan penentang kerajaan itu telah menawan pangkalan utama tentera itu yang mengakibatkan 15 anggota penentang kerajaan dan 20 askar kerajaan terkorban dalam pertempuran tersebut.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata, Barisan Selatan turut menawan dua buah kampung termasuk Al-Rakham ketika askar kerajaan berundur ke kampung Al-Dara yang terletak berhampiran. – AFP