Monday 24 August 2015

Angka kematian meningkat


Beirut: Angka kematian akibat pengeboman terbaru tentera Syria ke atas kubu penentang di luar Damsyik meningkat kepada 34, semuanya orang awam, termasuk 12 kanak-kanak.

Perkembangan itu didedahkan pengerusi Pemerhati Hak Asasi Syria Rami Abdel Rahman.

Menurutnya, lapan wanita juga mati dalam serangan yang dilancarkan tentera Syria di Douma, bandar yang dikuasai penentang, Sabtu lalu.

“Jumlah kematian meningkat selepas lebih banyak mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan,” kata Rami.

Sukarelawan dan pasukan pertahanan awam tempatan semalam masih berusaha mencari tujuh lagi penduduk yang dipercayai turut terbunuh.

Jawatankuasa Penyelaras Douma, kumpulan aktivis tempatan, menyiarkan nama dan gambar mangsa yang terbunuh dalam laman Facebooknya.

Satu daripada gambar itu menunjukkan seorang bayi, yang menurut kumpulan itu diselamatkan dari runtuhan kediaman keluarganya, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Dalam serangan terbaru semalam, enam serangan udara dilancarkan tentera Syria terhadap kawasan sekitar Ghouta Timur, yang juga termasuk Douma.

Bagaimanapun, belum ada maklumat mengenai kemalangan jiwa.

Pada 16 Ogos lalu, beberapa serangan udara rejim Syria menyebabkan 117 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh di Douma.

Ia mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Ghouta Timur dikepung sejak dua tahun lalu dan sering menjadi sasaran serangan udara tentera rejim Syria.

Perang Syria yang bermula Mac 2011 berikutan tunjuk perasaan antikerajaan, merebak menjadi konflik bersenjata yang sehingga ini sudah meragut lebih 240,000 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:14 AM

beberapa penduduk berusaha mengangkat mayat seorang mangsa dari runtuhan bangunan selepas serangan udara rejim Syria di Douma, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72526#sthash.XRGpVz1V.dpuf

No comments:

Post a Comment