Saturday 5 September 2015

Britain buka pintu untuk ribuan pelarian


Lisbon: Perdana Menteri Britain David Cameron semalam berkata, Britain bersetuju menerima ribuan lagi pelarian Syria selepas imej kanak-kanak yang mati lemas terdampar di pantai mencetuskan simpati di negaranya.

Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tindakan Britain dilihat mampu mengubah kehidupan 4,000 pelarian Syria.

Dalam pada Eropah berdepan krisis migran dan pelarian dari Asia Barat serta Afrika, ada rakyat Britain menuduh kerajaan Cameron tidak peka terhadap isu golongan berkenaan, malah ada ahli Parlimen Parti Konservatif pimpinannya turut mendesak menerima lebih ramai pelarian.

“Memandangkan betapa teruknya krisis ini dan penderitaan mereka, saya mengesahkan kami boleh melakukan lebih banyak untuk membantu ribuan pelarian Syria,” katanya selepas menemui rakan sejawat di Lisbon.

Kira-kira 5,000 pelarian Syria mendapat suaka di Britain sejak perang bermula di negara itu manakala 216 lagi dibawa ke situ mengikut skim pemindahan disokong PBB.

Negara Eropah lain seperti Jerman dan Sweden setakat ini mengambil lebih ramai pelarian berbanding Britain. Jerman saja menjangkakan 800,000 membuat permohonan suaka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:06 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75274#sthash.vJf6XgmH.dpuf

No comments:

Post a Comment