Diplomat berkata, mesyuarat antara menteri-menteri luar yang berlangsung di Brussels itu me­ngundi untuk melaksanakan ran­cangan berkenaan setelah mendapat sokongan daripada Jerman dan beberapa buah negara kuasa besar.
Menteri Luar Czech dalam status yang dimuat naik di laman sosial Twitter berkata, beliau mengundi untuk tidak menyokong cadangan tersebut bersama-sama Slovakia, Romania dan Hungary, manakala Finland mengambil pendirian berkecuali.
Prague terdahulu memberi ­amaran, sebarang usaha untuk meluluskan rancangan perkongsian pela­rian itu tidak mungkin akan berlaku dan kerajaan atau pihak berkuasa EU berkemungkinan besar akan ‘dicemuh’.
“Jika kita gagal mencari jalan penyelesaian terbaik untuk jangka panjang, krisis pelarian ini boleh memberi ancaman kepada EU,” kata Perdana Menteri Slovenia, Miro Cera.
Menteri-menteri luar EU berharap mesyuarat yang berlangsung semalam mencapai kata sepakat berbanding menjalankan proses undian di mana blok timur Eropah merupakan kumpulan minoriti dalam EU, sekaligus menimbulkan kebimbangan berkemungkinan si­tuasi tersebut akan merenggangkan hubungan antara negara-negara anggota.
Dalam perkembangan sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menggesa negara-negara anggota EU menerima rancangan perkongsian penempatan semula pelarian yang telah dipersetujui.
White House dalam satu kenya­taan berkata, Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel bersetuju bahawa penyelesaian terhadap isu pelarian adalah dengan kesemua anggota EU menerima agihan pela­rian yang telah diputuskan. – AFP/REUTERS