Lalu lintas terhenti sepenuh­nya apabila lori-lori yang tersekat, menghalang laluan terakhir.
Croatia yang berang dengan kebanjiran pelarian di sempadan timurnya dengan Serbia, semalam bertindak menghalang kesemua kenderaan kargo dari Serbia, selepas menutup tujuh daripada lapan pintu sempadannya untuk kegunaan kenderaan.
Lebih 30,000 pelarian, keba­nyakan mereka dari Syria mema­suki Croatia yang merupakan anggota Kesatuan Eropah (EU) dari Serbia sejak Selasa lalu berikutan tindakan Hungary menutup pintu sempadannya dengan memasang kawat duri.
Pelarian itu dibawa terus dari Serbia ke sempadan Croatia, selepas memasuki Serbia dari Macedonia dengan berjalan kaki, sehingga membuatkan Croatia tidak lagi mampu menerima kebanjiran pelarian dan mendakwa Belgrade perlu menghantar kembali pelarian ber­kenaan ke Hungary dan Romania.
Trak-trak berbaris di lebuh raya Belgrade-Zagreb mencapai 12 kilometer panjang ekoran tindakan Serbia memberi tempoh sehingga hari ini bagi Zagreb menarik balik sekatan ke atas kargo itu atau berdepan tindak balas politik, undang-undang dan ekonomi.
Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Croatia, Zoran Milanovic dan mereka akan terus berbincang bagi mencari penyelesaian.
Katanya, tanpa sebarang perjanjian menjelang tengah malam ini, Serbia akan mengambil beberapa tindakan ke atas Zagreb.
“Saya percaya kami akan dapat mencapai persetujuan dengan jiran kami. Namun, Serbia mesti membalas atas kemusnahan integriti ekonominya dan dasar nasional,” kata Vucic.
Beberapa minit sebelum Vucic mengeluarkan kenyataan, kerajaan Croatia berkata, mereka memutuskan untuk meringankan sekatan itu bagi membenarkan hanya trak-trak yang membawa barang-barang yang tidak tahan lama memasuki negara itu.
Bagaimanapun, pemandu lori yang kecewa dengan tindakan Croatia itu, bertindak meletakkan kenderaan mereka di sepanjang laluan Bajakovo-Batrovci, sekali gus menghalang laluan semua trafik. – REUTERS