Tuesday 22 September 2015

Halang berarak


AFP
Istanbul: Usaha migran di Istanbul berjalan ke sempadan Eropah semalam dihalang pihak polis di luar kota bersejarah itu.

Kira-kira 700 lelaki, wanita dan kanak-kanak yang kebanyakannya berbangsa Syria sebelum ini terkandas di stesen bas utama Istanbul sejak seminggu lalu sebelum memutuskan semalam untuk berjalan kaki ke Edirne yang terletak 250 kilometer (km) dari bandar itu.


Ada antara mereka yang tidur di sisi lebuh raya berjaya memanjat bas dan kereta persendirian untuk meneruskan perjalanan.

Namun, ratusan yang lain terus berjalan di laluan kecemasan pada waktu lalu lintas sesak dengan orang ramai yang mahu ke pejabat sebelum dihalang polis 50km di luar Istanbul.

Edirne yang terletak 10km dari sempadan Greece dan 20km dari Bulgaria kini menjadi tempat pertemuan untuk migran yang cuba memasuki Eropah.

Golongan itu juga semakin bersemangat menggunakan laluan darat berikutan kempen media sosial menggunakan hashtag #Crossingnomore yang mendesak migran dibenarkan melintas laluan darat ke Eropah tanpa menggadai nyawa di lautan, menyebabkan 2,000 pelarian mula membanjiri bandar berkenaan sejak minggu lalu.

Malangnya, ratusan lain yang cuba mengikuti jejak langkah mereka terkandas di Istanbul selepas syarikat bas mematuhi arahan pihak berkuasa yang melarang penjualan tiket kepada golongan itu.

Gabenor Edirne juga memberi amaran migran yang cuba menyelinap masuk ke Eropah melalui wilayah itu akan dihantar ke kem pelarian di selatan Turki.

Ramai rakyat Syria yang menuju ke Eropah sudah berbulan - malah ada juga bertahun - tinggal di Turki yang menerima lebih dua juta pelarian negara itu sejak 2011. Sekitar 260,000 daripada mereka tinggal di kem pelarian.

Bagaimanapun, status mereka sebagai ‘tetamu’ di Turki menyukarkan mereka mendapat kerja dan perkhidmatan asas menyebabkan ramai mahu mencuba nasib di negara Kesatuan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:24 AM

Migran dihalang polis di lebuh raya di luar Istanbul.

No comments:

Post a Comment