Saturday 17 October 2015

Nasib tragis pelarian


Lagi kanak-kanak maut bot dinaiki berlanggar di perairan Greece
17 Oktober 2015 12:39 AM



ATHENS 16 Okt. - Tragedi demi tragedi melibatkan pelarian terus menghantui benua Eropah apabila sekurang-kurangnya lapan pela­rian termasuk empat kanak-kanak mati lemas selepas bot yang dinaiki berlanggar dengan sebuah bot pengawal pantai di kawasan perairan Greece, semalam.
Insiden terbaharu itu turut menyaksikan babak tragis apabila anggota pasukan Pengawal Pantai Greece mengeluarkan mayat seorang pelarian kanak-kanak lelaki yang terapung di perairan pantai Lesbos.
Menurut kenyataan pihak ber­kuasa seperti dilaporkan Mail Online, mereka turut menemukan mayat seorang perempuan, dua kanak-kanak dan seorang bayi selepas kejadian pelanggaran terbabit.
Jelas laporan itu, seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang dan pasukan penyelamat Greece yang dibantu sebuah kapal Portugal dan helikopter milik agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU) masih meneruskan usaha pencarian.
“Seramai 31 pelarian yang masih belum disahkan kerakyatan di­selamatkan dalam kejadian itu.
“Siasatan telah dijalankan untuk mengenalpasti punca kapal pengawal pantai berlanggar dengan bot pelarian terbabit,” tambah laporan berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, seorang pelarian Afghanistan ditembak mati ketika cuba mema­suki Bulgaria lewat malam semalam.
Kementerian Dalam Negeri Bulgaria berkata, kejadian tersebut berlaku di pekan Sredets, tenggara negara itu apabila kira-kira 50 pelarian cuba melintasi sempadan dari Turki, menyebabkan pasukan pengawal sempadan dikerah untuk menahan mereka.
Namun jelas kenyataan itu, kumpulan terbabit enggan memberi ker­jasama menyebabkan seorang anggota keselamatan melepaskan tembakan yang secara tidak sengaja terkena seorang pelarian.
“Mangsa yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” tambah ke­nyataan tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nasib-tragis-pelarian-1.147367#sthash.PA1E2d81.dpuf

No comments:

Post a Comment