Saturday 17 October 2015

Tentera Bashar, Rusia serang pemberontak


AP - IMEJ yang diambil daripada laman web rasmi Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan satu sasaran dibedil ketika serangan udara di Syria.


BEIRUT – Tentera Syria dan jet-jet Rusia menyerang pemberontak di selatan bandar Aleppo semalam selepas Moscow memberi sokongan dengan kempen serangan udara yang berlangsung sejak dua minggu lalu, lapor sumber dari Syria dan sebuah kumpulan pemantau.
“Operasi ketenteraan bermula di pedalaman selatan Aleppo,” kata seorang sumber prokerajaan di Syria.
Pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdulrahman berkata, berlaku pertempuran hebat berhampiran kawasan Jebel Azzan, kira-kira 12 kilometer di selatan Aleppo, kawasan yang membahagi antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak.
“Kawasan sasaran tentera dan jet Rusia adalah berhampiran jalan utama yang menu­ju ke selatan ibu kota Damsyik,” kata Rami.
Sejak Rusia melancarkan serangan udara pada 30 September lalu yang didakwa ditujukan kepada militan Islamic State (IS), pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad pula meningkatkan serangan terhadap kawasan pemberontak di barat Syria.
Serangan itu termasuk kubu di utara Homs dan kawasan di wilayah Hama, Idlib dan Latakia yang diambil alih oleh pemberontak sejak musim panas.
Stesen televisyen al-Mayadeen yang beribu pejabat di Beirut melaporkan semalam bahawa tentera sedang berlawan dari tiga penjuru di selatan Aleppo.
Tambah Rami, tentera telah berjaya menawan semula kampung Abtin dari kumpulan pemberontak termasuk sebuah kubu kereta kebal dekat kampung Sabiqiya. Kedua-dua kampung itu terletak dekat dengan Jebel Azzan. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ovqd6fMT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment