Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev dalam kenyataannya berkata, walaupun Moscow tidak akan mengambil sebarang tindakan ketenteraan terhadap Turki, beliau telah mengarahkan satu sistem tindak balas yang menyasarkan bidang ekonomi dan kemanusiaan Ankara.
“Sistem tersebut yang perlu disiapkan dalam tempoh dua hari, melibatkan penangguhan projek kerjasama ekonomi, menyekat transaksi kewangan dan perdagangan serta menukar duti kastam,” katanya.
Langkah-langkah yang tersebut dijangka turut melibatkan sektor ekonomi dan pelancongan selepas Presiden, Vladimir Putin menyarankan rakyatnya agar tidak melancong ke Turki, negara yang terkenal sebagai destinasi pelancongan.
Malah, Kementerian Luar Rusia menggesa rakyatnya yang berada di Turki agar pulang ke tanah air ekoran ancaman kumpulan pengganas yang wujud di republik ber­kenaan.
Dalam pada itu, Menteri Ekonomi, Alexei Ulyulayev berkata, dua projek besar antara Moscow dan Ankara iaitu pemasangan laluan paip gas Turk Stream dan pembinaan loji nuklear Akkuyu mungkin terjejas disebabkan langkah sekatan yang dikuatkuasakan Rusia.
Dalam perkembangan sama, portal Al Jazeera melaporkan, polis Rusia menyerbu dan menggantung syarikat milik Turki di beberapa wilayah di negara ini.
Selain itu, trak dari Turki yang membawa barangan eksport dia­rahkan berpatah balik apabila tiba di sempadan Rusia dan pelancong Turki turut ditahan untuk tujuan pemeriksaan walaupun tidak memerlukan visa bagi memasuki negara itu.
Moscow dan Ankara saling bertikam lidah selepas jet pejuang Turki menembak jatuh pesawat tempur SU-24 di sempadan Syria-Turki pada Selasa lalu, menyebabkan seorang juruterbangnya terbunuh.
Putin menuntut rakan sejawatnya, Recep Tayyip Erdogan untuk meminta maaf atas kejadian tersebut tetapi Presiden Turki ber­kenaan enggan berbuat demikian kerana mendakwa pesawat Rusia menceroboh masuk ruang udara negaranya. – AFP