Sunday 31 January 2016

'Langkah pintas' mahu mati syahid


46 rakyat Malaysia berpotensi jadi pengebom berani mati
31 Januari 2016 12:47 AM



AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

MUKADIMAH: Jika dilihat pada angka tujuh individu yang maut akibat menjadi pengebom berani mati, jumlah itu mungkin kecil tetapi impaknya adalah terlalu besar.
Malah, ketika negara beranggapan seorang pemuda dari Pahang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, menjadi pengebom berani mati pertama negara, siasatan polis mendapati, sekurang-kurangnya 10 rakyat negara telah dilatih untuk bertindak sedemikian ketika era militan Jemaah Islamiah (JI).
 Ketika ini 46 rakyat Malaysia dikesan berada di negara bergolak itu dan mereka juga berpotensi untuk dilatih seterusnya menjadi pengebom berani mati yang menyerang kawasan-kawasan berkepentingan di luar negara.
 Perkara itu berlaku terhadap Ahmad Salman Abdul Rahim, 40, yang sebelum ini begitu memperjuangkan peperangan menentang tentera Bashar al-Assad di Facebook dan Twitter namun minggu lalu mengejutkan negara apabila maut selepas menjadi pengebom berani mati.
 Wartawan Utusan Malaysia, ILAH HAFIZ AZIZ dan LILIS SURIANI OMAR mendapatkan maklumat mengenai perkara ini hasil perbincangan dengan ketua barisan hadapan dalam memerangi kegiatan militan di negara ini, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.

KUALA LUMPUR 30 Jan. -  Seramai 46 rakyat Malaysia yang disyaki menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara bergolak dikesan sangat berpotensi untuk menjadi pengebom berani mati.
Ini berikutan, kesemua rakyat negara yang berada di Syria itu termasuk wanita dan kanak-kanak sangat terdedah dengan kemahiran untuk berperang dan tidak mustahil direkrut untuk menjadi ‘skuad hadapan’ ketika me­nyerang musuh.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, perkara berkenaan dilihat menjadi trend terbaharu bagi rakyat Malaysia yang berada di sana kerana mereka mahu mati syahid dengan cepat.
“Rakyat negara ini yang menyertai pergolakan di Syria berazam untuk mati syahid ketika berperang namun soal mati atau hidup bukan mereka yang menentukan.
“Kemungkinan selepas bertempur mereka hanya cedera parah dan tidak mati, oleh demikian azam untuk syahid menjadi kuat sehingga sanggup menawarkan diri menjadi barisan hadapan membawa bahan-bahan letupan.
“Ini boleh dianggap sebagai ‘langkah pintas’ mereka untuk syahid,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan memberitahu, risikan mendapati golongan lelaki lebih berpotensi untuk memainkan peranan di barisan hadapan berbanding wanita dan kanak-kanak.
“Terdapat sekitar 46 rakyat Malaysia yang masih hidup di negara itu manakala 18 telah terbunuh dalam pertempuran termasuk tujuh daripadanya dikesan terbabit sebagai pengebom berani mati,” katanya.
Ditanya mengapa rakyat Malaysia menjadi pilihan untuk berada di barisan hadapan ketika bertempur, Ayob Khan memberitahu, kelebihan utama rakyat negara ini adalah kemampuan untuk berkomunikasi dengan baik.
“Rakyat kita mempunyai asas pendidikan yang baik termasuklah dari segi agama. Kemampuan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris juga memberi kelebihan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/langkah-pintas-mahu-mati-syahid-1.185204#sthash.sKsULKhg.dpuf

No comments:

Post a Comment