Ketika aktiviti kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) menjalankan kegiatan mereka di Asia Tenggara termasuk Malaysia, kes pengebom berani mati telah ada dan sekurang-kurangnya 10 rakyat negara ini te­lah direkrut ke dalam kumpulan itu.
Risikan keselamatan mendapati, rakyat Malaysia yang pernah menjalani latihan ketenteraan di luar negara seperti Afghanistan dan selatan Filipina yang kemudiannya bergiat aktif dalam JI telah direkrut untuk menjadi pengebom berani mati.
Mereka ini telah berbai’ah atau melafazkan ‘akujanji’ untuk mati syahid dalam perjuangan malah bersedia pada bila-bila masa untuk dikorbankan dengan membawa bahan letupan ke sesuatu lokasi berkepentingan.
Anggota JI ini dipercayai dalam persediaan untuk melaksanakan serangan pengeboman ke atas kepentingan Singapura iaitu Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) sekali gus cuba mencetuskan gelombang kedua selepas 11 September 2001.
Lima warganegara itu ditahan pada 2001 di Johor dan pihak berkuasa menemui beberapa tan bahan untuk membuat bom, terdiri daripada baja ammonium nitrat dan bahan api yang boleh menghasilkan letupan jenis ANFO.
Malah, hasil siasatan lanjut ketika itu, kumpulan yang ditahan ini turut mengakui diarah bersiap sedia menyerang sebuah kapal milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan akan berlabuh di Pelabuhan Klang dalam program rangka lawatan ke negara ini.
Kelima-lima mereka ini merupakan anak didik yang setia pada arahan pemimpin JI, Nordin Mat Top dan mendapat pendidikan di Sekolah Islam Luqmanul Hakim (SILH) milik JI di Ulu Tiram, Johor
Selain itu, lima lagi anggota JI pula dikesan telah direkrut oleh seorang lagi pemimpin JI iaitu Hambali untuk melaksanakan misi memusnahkan bangunan US Bank Tower di California, AS.
Mereka ini ditahan pada 2003 dan dipercayai mempunyai hubungan secara langsung dengan Al-Qaeda dan bentuk serangan yang bakal dilancarkan juga berskala lebih besar malah turut dilatih memahirkan diri dengan plot dan prosedur rampasan pesawat
Lapan pengebom yang telah ditangkap itu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan manakala dua lagi telah dihantar ke Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba.