Utusan kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien dalam laporannya kepada Majlis Keselamatan PBB, mendedahkan, misi untuk menghantar bantuan ke kawasan yang sukar dimasuki hampir mustahil dilakukan dan kerajaan Syria masih belum memberi kelulusan bagi meneruskan usaha tersebut.
Jelasnya, berdasarkan 113 permohonan untuk penghantaran bantuan pada tahun lalu, hanya 10 peratus sahaja berjaya dihantar kepada orang awam dan kira-kira 75 peratus permintaan tidak dijawab oleh Damsyik.
“Keupayaan kami untuk memasuki kawasan terbabit dan kawasan yang dikepung terjejas teruk disebabkan sikap pihak berkuasa Syria.
“Sikap sedemikian tidak boleh diterima sebagai anggota PBB dan sebuah negara yang menandatangani piagam antarabangsa,” katanya.
Kira-kira 13.5 juta penduduk Syria memerlukan bantuan bekalan makanan selepas perang saudara yang tercetus sejak 2011 mengakibatkan kemusnahan yang teruk selain mencetuskan krisis kebuluran yang meruncing.
Sementara itu, kumpulan kemanusiaan Syria, Kesatuan Penyelamat dan Perubatan (UOSSM) melaporkan, sebanyak 177 buah hospital musnah dan hampir 700 pekerja kesihatan maut akibat perang di negara itu.
Presiden UOSSM, Qubaida al-Mufti berkata, sejak 2012, kemudahan perubatan sering menjadi sasaran serangan udara dan pengeboman oleh kedua-dua pihak bertelagah iaitu kerajaan Syria dan kumpulan penentang.
Tambahnya, tahun lalu sahaja, sebanyak 112 buah hospital menjadi sasaran serangan manakala dalam tempoh 2012 sehingga 2015, seramai 697 staf perubatan termasuk doktor, jururawat dan lain-lain terkorban akibat serangan bom dan tembakan.
“Serangan ini secara jelas melanggar undang-undang kemanusiaan dan konvensyen antarabangsa,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, usaha untuk menamatkan krisis peperangan di Syria masih samar apabila pakatan pembangkang menangguhkan keputusan untuk menyertai rundingan damai yang diusahakan PBB.
Jawatankuasa Tertinggi Rundingan yang ditubuhkan bagi menyatukan kumpulan pembangkang dan penentang, bertemu buat kali kedua pada hari ini bagi menentukan sama ada mahu menerima jemputan PBB ke Geneva bagi meneruskan rundingan.
Jurucakap jawatankuasa itu, Salem al-Meslet berkata, pihaknya masih belum boleh membuat keputusan sehingga menerima maklum balas dari wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura untuk meneruskan rundingan berkenaan. – AFP