Wednesday 3 February 2016

Cubaan gagalkan rundingan Syria

Cubaan gagalkan rundingan Syria

2 FEBRUARI 2016

 Tiga serangan bom menggegar bandar al-Sayyida Zeinab di pinggir Damsyik, kelmarin, turut meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa

 DAMSYIK - SYRIA.  Kementerian Luar Syria mengutuk keras kejadian tiga serangan bom menggegar pinggir ibu negara yang disifatkan sebagai cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk menggagalkan rundingan damai yang sedang berlangsung di Switzerland.
Akhbar SANA melaporkan kecaman itu dibuat menerusi surat dihantar kepada  PBB yang turut mendakwa serangan terbabit cuba untuk mencetuskan ketakutan kepada penduduk negara bergolak tersebut.
Sekurang-kurangnya 50 terbunuh manakala lebih 105 lagi cedera dalam insiden pengeboman itu yang didakwa didalangi kumpulan militan IS menyasarkan stesen bas di kawasan kejiranan sesak di Koua al-Sudan di daerah al-Sayyida Zeinab, kelmarin.
Dua pengebom berani mati turut meletupkan diri mereka ketika kakitangan perubatan dan orang awam sedang menyelamatkan mangsa serangan pertama.
Dalam perkembangan lain, blok pembangkang utama Syria dilaporkan mengadakan mesyuarat pertama dengan Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura di Geneva.
Jurucakap Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC), Salem al-Meslet berkata, mereka optimistik untuk mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik berlarutan yang memberi kesan besar kepada seluruh rakyat negara itu.
"Kami berharap dapat melihat bantuan makanan tiba kepada golongan wanita dan kanak-kanak di kawasan terjejas teruk," katanya.  
Dalam satu kenyataan, HNC mengancam untuk menarik diri daripada rundingan damai tajaan PBB itu jika 'jenayah' dilakukan rejim Presiden Bashar al-Assad masih berleluasa.
"Kami tidak teragak-agak membuat keputusan itu jika PBB dan kuasa dunia gagal menghentikan perlanggaran tersebut," kata penyelaras HNC, Riad Hijab.  
Dalam satu kenyataan lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menggesa kerajaan Syria dan pembangkang supaya merebut peluang untuk melaksanakan gencatan senjata di negara itu.
Difahamkan, rundingan damai tersebut akan diadakan dalam tempoh 18 bulan di bawah resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB pada Disember lalu. - Agens
i

No comments:

Post a Comment