Speaker Utama Parti Alternatif Untuk Jerman (AFD), Frauke Petry dalam satu temubual dengan akhbar Mannheimer Morgen pada Sabtu lalu berkata, polis mesti menggunakan senjata api mereka bagi menghalang pelarian melintasi sempadan negara ini.
“Tiada anggota polis yang mahu menembak pelarian dan saya juga tidak mahu melakukan perbuatan itu. Namun, langkah terakhir perlu melibatkan penggunaan senjata,” katanya sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Cadangan Petry, 40, bagaimanapun dikecam hebat dalam kalangan ahli politik dan polis Jerman, dengan sebuah kesatuan polis menegaskan bahawa tiada anggota polis Jerman yang akan menembak pelarian.
“Mana-mana pihak yang mencadangkan pendekatan radikal seperti itu, sebenarnya mahu mengubah undang-undang dan mengeksploitasi pegawai polis,” kata Naib Pengerusi Kesatuan Polis GdP, Joerg Radek dalam satu kenyataan.
AFD mula menyaksikan peningkatan sokongan sejak beberapa bulan lalu ketika tinjauan ramai menunjukkan perubahan sokongan rakyat dalam isu berhubung pelarian di Jerman.
Sebagai anggota sayap kanan AFD, Petry melontarkan agenda antipelarian dan lantang mengkritik dasar pelarian oleh kerajaan.
Naib Canselor Jerman, Sigmar Gabriel pada masa sama mahu Parti AFD diletakkan di bawah pengawasan agensi keselamatan kerajaan yang memantau pergerakan golongan pelampau.
Gabriel dalam temubual dengan akhbar Bild berkata, ‘adalah diragui AFD benar-benar menyokong demokrasi bebas di republik ini.’
Sementara itu, Canselor Jerman, Angela Merkel mendapat sokongan di luar jangkaan daripada sebuah pihak berhubung langkahnya menguruskan krisis pelarian di negara ini.
Gabenor Baden-Wuerttemberg, Winfried Kretschmann yang juga anggota Parti Green bersama pihak pembangkang memberitahu akhbar Berlin, Tagesspiegel bahawa, ketegasan Canselor menguruskan krisis itu ‘langkah demi langkah’ merupakan cara yang betul dalam menangani masalah tersebut.
“Mana ada rakan sejawatnya dalam Kesatuan Eropah yang dapat mempertahankan Eropah jika beliau gagal? Oleh itu, saya berdoa setiap hari semoga Canselor sentiasa sihat,” katanya.