Akhbar pro-kerajaan, Al-Watan melaporkan tentera Syria sudah bersiap sedia menggempur bandar Aleppo dan wilayah berhampiran ketika sumber rapat dengan kerajaan memberitahu bahawa kempen ketenteraan itu pasti akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Sekarang merupakan masa sesuai untuk menggempur Aleppo bagi membebaskan bandar itu (daripada kumpulan bersenjata). Perang itu tidak akan mengambil masa yang lama untuk bermula dan ditamatkan,” lapor Al-Watan.
Menurut sumber kerajaan, tentera Syria sedang membuat persiapan besar-besaran bagi mengusir kumpulan pemberontak keluar dari kawasan bandar itu, sekali gus mewujudkan sebuah zon keselamatan di wilayah itu.
Kumpulan penentang menguasai daerah-daerah di timur bandar Aleppo sejak 2012, manakala tentera kefrajaan menguasai kawasan perumahan di bahagian barat bandar tersebut.
Kawalan ke atas wilayah berhampiran pula terbahagi antara beberapa kumpulan bersenjata seperti kumpulan militan al-Qaeda dan kumpulan militan Negara Islam (IS), militia Kurdis dan beberapa kumpulan penentang lain dan tentera kerajaan.
Jauh di utara Aleppo, kumpulan penentang termasuk kumpulan militan Ahrar al-Sham dan militia Kurdis terlibat dalam pertempuran sengit sejak kelmarin dan semalam mengakibatkan sebanyak 64 orang anggota penentang maut.
Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Staffan de Mistura berkata, gencatan senjata yang dicapai pada 27 Februari lalu hampir musnah, sambil merayu Amerika Syarikat (AS) dan Rusia bertindak segera menangani pencabulan itu.
Sementara itu, Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, bedilan roket dan meriam ke kawasan perumahan yang dikuasai tentera kerajaan, semalam menyaksikan sebanyak 22 orang terbunuh termasuk dua orang kanak-kanak.
Serangan udara di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang mengorbankan sebanyak 123 orang awam termasuk 18 kanak-kanak dalam tempoh tujuh hari lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak 71 orang awam termasuk 13 kanak-kanak terbunuh di kawasan kediaman yang dikuasai tentera kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Aleppo, Valter Gros menyifatkan bandar Aleppo di ambang bencana kemanusiaan.
“Di mana sahaja anda berada, anda akan mendengar bunyi letupan mortar, bom yang dilancarkan dari jet-jet pejuang tentera kerajaan,” katanya. – AFP