DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 123 orang awam termasuk 18 kanak-kanak terbunuh dalam serangan berdarah menyasarkan Aleppo yang dikuasai kumpulan pemberontak sejak tujuh hari lalu, menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR)l, semalam.
Jurucakapnya memaklumkan sekurang-kurangnya 71 penduduk termasuk 13 budak pula maut selepas kumpulan pemberontak membedil kawasan dikuasai tentera kerajaan di bandar tersebut dalam tempoh sama.
Sementara itu, tentera Syria memberitahu 'situasi tenang' akan dikuatkuasakan  bermula jam 1 pagi (waktu tempatan) pada hari ini.
"Ia akan berkuat kuasa selama 24 jam di kawasan Ghouta Timur dan di Damsyik manakala untuk tempoh 72 jam di kawasan luar bandar utara Latakia.
"Keputusan ini bertujuan untuk menghalang cubaan mana-mana kumpulan militan dan penyokong mereka yang mahu mengeruhkan lagi konflik dan ketidakstabilan dengan menyasarkan orang awam," menurut kenyataan Perintah Am Tentera Syria.- Reuters