Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (ESCWA) dan Universiti St. Andrews dalam laporannya mendedahkan, jumlah itu meningkat hampir tiga kali ganda sejak perang saudara meletus lima tahun lalu.
Menurut laporan itu, kira-kira 13.5 juta termasuk lebih empat juta penduduk Syria yang menetap di wilayah Damsyik dan Aleppo memerlukan bantuan kemanusiaan sejak penghujung tahun lalu.
Laporan itu menyatakan, mengikut anggaran semasa, jangka hayat penduduk terlibat turut menurun dari umur 70 pada 2010 kepada 55.4 pada 2014.
Sementara itu, hampir separuh daripada 493 buah hospital di Syria mengalami kerosakan yang teruk pada 2010 akibat perang.
Serangan tersebut menyebabkan jumlah doktor dan ahli farmasi berkurangan dengan purata seorang doktor merawat 1,442 pesakit pada tahun lepas berbanding 661 pada 2010.
Selain itu, kira-kira 12.1 juta penduduk Syria mengalami masalah kekurangan air, manakala kerosakan kawasan penempatan dan bangunan dianggarkan bernilai AS$90 bilion (RM352.21 bilion).
Dalam perkembangan ber­kaitan, kira-kira 2.7 juta kanak-kanak Syria dilaporkan tercicir daripada pelajaran, manakala ekonomi pula menguncup kepada 55 peratus antara tempoh yang sama walaupun dijang­ka berlaku pertumbuhan sebanyak 32 peratus selepas ini.
Keluaran negara kasar dalam bidang pertanian turut merudum sehingga 60 peratus antara 2010 hingga tahun lalu selain kenaikan harga tepung gandum dan beras, masing-masing antara 43 dan 89 peratus sepanjang tempoh yang sama. – AFP