Peningkatan serangan oleh tentera Syria dibantu sekutunya Rusia dan Iran ke atas bandar terbesar di Syria itu sejak 22 April lalu menyaksikan nasib kira-kira 400,000 penduduk Aleppo kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’.
Serangan itu mengakibatkan penduduk di bandar itu terperangkap di dalam zon peperangan empat penjuru melibatkan tentera kerajaan, kumpulan penentang, kumpulan militan IS dan Unit Perlindungan Penduduk Kurdis (YPG) yang membentuk wilayah berkenaan kepada beberapa bahagian.
Akibat serangan itu, penduduk Aleppo yang dahulunya berjumlah kira-kira dua juta orang, kini hidup dalam ketakutan apabila tentera kerajaan yang menguasai bahagian barat bandar itu terus membedil kawasan penempatan yang dikuasai kumpulan penentang di timur bandar itu tanpa mengendahkan undang-undang antarabangsa termasuk mengebom klinik dan hospital.
Tindakan seorang ulama pro-Syiah yang berpihak kepada tentera Syria mengeluarkan fatwa yang membenarkan penghapusan penduduk awam di bandar Aleppo juga memburukkan krisis kemanusiaan di Aleppo yang dilihat hanya dapat diselesaikan menerusi gencatan senjata.
Setakat ini, Badan Pemantau Hak Asasi bagi Syria melaporkan, hampir 300 penduduk Aleppo terbunuh sejak operasi ketenteraan di wilayah itu diperhebatkan, dengan jumlah korban dijangka meningkat apabila kumpulan penentang dan tentera kerajaan saling mencabuli beberapa gencatan senjata yang dicapai termasuk yang dikuatkuasakan pada 5 dan 6 Mei lalu.
Perang di Aleppo bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan tentera Syria untuk merampas semula bandar itu daripada kumpulan penentang dan kumpulan militan, tetapi juga menyaksikan campur tangan terang-terangan tentera asing di Syria, termasuk campur tangan Rusia, tentera Iran dan pergerakan Hizbullah, yang merupakan sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad.
Aleppo yang menjadi kubu kuat kumpulan penentang sejak tercetus perang saudara di Syria, turut menyaksikan kewujudan kumpulan-kumpulan militia lain seperti; Barisan Nusra; Tentera Pembebasan Syria (FSA); Barisan Islam; Fatah Halab; Ansar al-Sharia dan Jabhat Ansar al-Din yang mempertahankan wilayah tersebut daripada tentera kerajaan dan kumpulan militan IS.
Campur tangan terang-terangan Rusia membangkitkan kemarahan Amerika Syarikat (AS) yang melatih dan memberi kelengkapan ketenteraan kepada kumpulan penentang dalam misi utama mereka untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad dan kumpulan militan IS di Syria.
Malah Amerika menuduh Rusia menjadikan Syria sebagai medan untuk menguji beberapa senjata baharu mereka selepas jumlah korban akibat pengeboman jet Rusia meningkat secara mendadak sejak campur tangan Moscow di negara itu.
Sejak Februari lalu, tentera kerajaan mula memperhebatkan usaha untuk menawan semula Aleppo daripada kumpulan penentang, sekali gus memutuskan saluran bekalan penting kepada kumpulan penentang dari Turki di kawasan Azaz di utara.
Langkah kerajaan itu dilihat berjaya memberi tekanan kepada kumpulan penentang, apabila tentera kerajaan berjaya menguasai kawasan sempadan yang menjadi sumber bekalan dan kelengkapan ketenteraan dari luar, sekali gus memutuskan laluan bekalan dan menghancurkan kekuatan mereka di Aleppo.
Malah, sejak peningkatan serangan di Aleppo, kumpulan penentang di Idlib yang merupakan satu lagi kubu kuat kumpulan penentang, mula merasai tekanan apabila mereka berdepan peningkatan kos kehidupan, khususnya kos bahan membuat roti dan minyak.
Menyedari agak sukar untuk menumpaskan kumpulan penentang di Aleppo, tentera Syria melaksanakan strategi yang lebih tersusun iaitu memisahkan kawasan penentang dengan wilayah bersebelahan yang dikuasai tentera kerajaan dengan menjadikan kawasan berkenaan seperti ‘pulau’.
Menerusi taktik ini, kumpulan penentang di dalam kawasan terpencil yang dikelilingi tentera kerajaan akan berasa tertekan dan trpaksa bergantung sepenuhnya kepada sekutu tentera kerajaan bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Taktik tersebut turut digunakan tentera kerajaan di bandar Daraa di selatan negara tersebut, apabila kerajaan berjaya mewujudkan ‘pulau’ antara kawasan yang dikuasai tentera kerajaan dengan kumpulan penentang, bagi menghalang kumpulan penentang daripada menguasai kawasan berhampiran sempadan Jordan.
Jika strategi tentera kerajaan ini berjaya, penduduk Aleppo yang terkepung akan berdepan krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarah perang saudara di Syria, dan mereka juga akan berdepan kesukaran untuk menerima bantuan makanan dan perubatan kerana dihalang tentera kerajaan.
Menurut penganalisis, jika tentera kerajaan mencatat kemenangan di Aleppo, ia bukan sahaja akan dapat meningkatkan moral tentera, malah mengukuhkan semula kedudukan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, selain akan melemahkan moral kumpulan penentang.
Bagaimanapun, mesej Assad kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, baru-baru ini yang menyatakan beliau tidak bersedia menerima kekalahan selain kemenangan ke atas kumpulan penentang dan pengganas, dikhuatiri akan menjadikan orang awam di Syria terus menjadi mangsa korban perang, pelarian dan hilang tempat tinggal.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perang saudara di Syria setakat ini telah meragut lebih 400,000 nyawa sejak konflik itu meletus pada Mac 2011.