Sunday 25 September 2016

Serangan Di Aleppo: Dua Juta Penduduk Terputus Bekalan Air


Diterbitkan: Ahad, 25 September 2016 12:30 PM

Seorang wanita mendukung bayinya yang sudah tidak bernyawa.

SERANGAN tanpa henti di bandar Aleppo, utara Syria menyebabkan hampir dua juta penduduk terputus bekalan air.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata serangan udara pada Jumaat menghalang kerja membaik pulih stesen pam air yang membekalkan air ke daerah yang dikuasai pemberontak.

Operasi stesen pam air berdekatan untuk menyalurkan bekalan air ke seluruh bandar itu telah dihentikan.

Serangan udara terbaharu dilaporkan dilancarkan pada Sabtu ketika tentera Syria terus memberi tekanan untuk mengambil alih kawasan yang dikuasai pemberontak.

Serangan terbaharu itu dilancarkan selepas gencatan senjata gagal pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Justin Forsyth berkata: "Aleppo mula mati sedikit demi sedikit dan seluruh dunia melihatnya.

"Dengan bekalan air diputuskan dan stesen pam air dibom, ini menunjukkan tindakan tidak berperikemanusiaan terbaharu," katanya.

Malah, jurucakap UNICEF, Kieran Swyer berkata ketiadaan bekalan air boleh mencetuskan bencana besar di Aleppo kerana penduduk kini terpaksa menggunakan air tercemar yang boleh membawa risiko kepada penyakit bawaan air.

Stesen pam air yang membekalkan bekalan air ke beberapa  kawasan yang dikuasai pemberontak pula telah dimusnahkan pada Khamis.

No comments:

Post a Comment