Friday 14 October 2016

Aleppo terus jadi sasaran



PASUKAN penyelamat dan penduduk memeriksa keadaan bangunan di al-Qaterji, timur Aleppo, selepas ia dibom dalam serangan udara tentera Russia, semalam. - Reuters


AFP
Aleppo: Sekurangnya 12 orang awam, termasuk empat kanak-kanak terbunuh semalam dalam serangan udara Russia yang paling besar sejak berapa hari di kawasan yang dikuasai penentang di sini, kata kumpulan pemantau.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, 12 orang terbunuh di daerah Bustan al-Qasr dan Fardos di timur bandar itu.

“Ini serangan udara Russia paling besar sejak rejim Syria pada 5 Oktober lalu mengumumkan untuk mengurangkan pengeboman,” kata pengarah badan pemerhati, Rami Abdel Rahman.

Wartawan AFP di Bustan al-Qasr melihat sebuah bangunan kediaman bertingkat musnah dalam serangan udara berkenaan.

Pasukan penyelamat yang dikenali sebagai White Helmets dilihat mengeluarkan dua mayat kanak-kanak dalam runtuhan bangunan itu dan membalut mangsa menggunakan kain putih.

Badan pemantau yang memperoleh maklumat daripada rangkaian sumber di Syria memberitahu, mereka mengenalpasti pesawat yang melancarkan serangan udara berdasarkan jenis, lokasi, corak penerbangan dan senjata digunakan.

Dibantu serangan udara Russia, tentera Syria menawan beberapa jalan raya dalam misi menawan timur Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang sejak 2012.

Sekurangnya 290 mangsa, kebanyakannya orang awam terbunuh dalam serangan tentera Syria atau Russia sejak operasi berkenaan bermula 22 September lalu.

Pada 5 Oktober lalu, tentera Syria berkata, pihaknya akan mengurangkan pengeboman di timur bandar itu dan menggesa orang awam menjauhkan diri dari anggota penentang.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 7:38 AM

No comments:

Post a Comment