Friday 14 October 2016

Russia tawar laluan keluar selamat untuk pemberontak Syria


JUMAAT, 14 OKTOBER 2016 @ 10:39 AMPemberontak Syria di Aleppo. - Foto AFP ALEPPO: Russia menyatakan ia bersedia menjamin laluan selamat untuk pemberontak Syria keluar dari Aleppo tetapi meningkatkan serangan udara ke atas bandar raya itu ketika kuasa dunia bersedia mengadakan rundingan gencatan senjata baharu. "Kami sedia menjamin pengunduran selamat pemberontak bersenjata, laluan tanpa halangan kepada penduduk awam ke dan dari timur Aleppo serta penghantaran bantuan kemanusiaan ke situ," kata Leftenan Jeneral Sergei Rudskoy dalam taklimat yang disiarkan di televisyen. Moscow menghadapi tekanan antarabangsa berikutan peningkatan kematian penduduk awam akibat serangan dilancarkan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad yang disokong Russia untuk menawan semula timur Aleppo. Malah, negara Barat menuduh Russia mungkin melakukan jenayah perang. Penganalisis berkata, tawaran itu langkah pertama mengendurkan tekanan dengan menonjolkan alternatif diplomatik. "Tiada perubahan dalam strategi Russia, matlamatnya masih untuk memusnahkan pemberontak di Aleppo. "Mengubah tindakan membolehkan mereka mengurangkan tekanan dan memberi kuasa kepada mereka yang mahukan pendekatan tegas diplomatik kepada krisis di Syria," kata pakar mengenai Syria, Thomas Pierret. Sejak serangan tentera bermula pada lewat September, pengeboman dilakukan Russia dan tentera kerajaan sudah mengorbankan lebih 370 orang, termasuk 68 kanak-kanak, menurut kiraan Pemerhati Hak Asasi Manusia (SOHR). Beberapa usaha antarabangsa gagal mencari penyelesaian politik kepada peperangan di Syria, yang sudah meragut lebih 300,000 nyawa. Ketika kuasa dunia berhimpun untuk mengadakan rundingan baharu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baru dilantik, Antonio Guterres, berkata sudah tiba masa untuk mengatasi perbalahan bagi menamatkan perang. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/202038

No comments:

Post a Comment