Tuesday 25 October 2016

AS kutuk rejim Syria guna senjata kimia





WASHINGTON – Pentadbiran White House kelmarin mengutuk rejim Syria kerana melanggar undang-undang antarabangsa selepas pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati tentera kerajaan melakukan sekurang-kurangnya tiga serangan senjata kimia ke atas rakyat sendiri pada tahun 2014 dan 2015.

Daripada sembilan serangan senjata kimia yang sedang disiasat, jawatan kuasa siasatan diketuai PBB mendapati sebanyak tiga serangan dilakukan kerajaan Syria dan satu oleh kumpulan Daesh.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya keingkaran rejim Presiden Bashar al-Assad terhadap norma antarabangsa menentang penggunaan senjata kimia dan Syria melanggar tanggungjawab di bawah Konvensyen Senjata Kimia yang disertai pada 2013,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Ned Price dalam satu kenyataan.

“Rejim Syria telah mencabul Konvensyen Senjata Kimia dan Resolusi 2118 Majlis Keselamatan PBB dengan menggunakan klorin industri sebagai senjata ke atas rakyat sendiri,” kata Price.

Beliau memberi amaran bahawa Amerika Syarikat meneruskan usaha bersama rakan sekutunya untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan itu.

“Kami menggesa semua ahli PBB dan perwakilan dalam Konvensyen Senjata Kimia termasuk Rusia dan Iran yang melakukan operasi ketenteraan bagi rejim Assad untuk menyokong usaha ini tanpa berbelah-bagi dan kekalkan komitmen bersama ke arah standard antarabangsa menentang penggunaan senjata kimia,” katanya.

Pentadbiran Washington dan Moscow berada dalam kemuncak pertelingkahan diplomatik besar disebabkan Rusia memberi sokongan kepada rejim Assad.

“Sokongan ketenteraan Rusia dan ekonomi kepada Syria membolehkan rejim Assad meneruskan kempen ketenteraan terhadap rakyat sendiri. Ia telah melanggar undang-undang antarabangsa, menurut laporan,” kata Price. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4O6vzY9pN
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment