Friday 28 October 2016

Pelajar antara 22 terbunuh di Idlib



SUKARELAWAN Syria yang dikenali sebagai White Helmets mencari mangsa yang mungkin tertimbus dalam runtuhan bangunan di Kampung Hass selepas serangan udara, semalam. - AP


Beirut: Sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak adalah antara 22 orang awam yang terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah sekolah dan kawasan sekitar di Idlib, wilayah di barat daya Syria, semalam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, pesawat, sama ada milik tentera Russia atau Syria, melakukan enam serangan di Kampung Hass, termasuk di sebuah kompleks sekolah.

Serangan itu dilakukan sekitar jam 11.30 pagi (4.30 petang waktu Malaysia.)

“Satu roket disasarkan pada pintu masuk sebuah sekolah ketika pelajar bersiap sedia untuk pulang selepas pihak sekolah mengambil keputusan menamatkan persekolahan lebih awal kerana serangan udara itu,” kata seorang penduduk.

Idlib dikuasai Tentera Penakluk, antara kumpulan yang menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Ia menjadi sasaran serangan besar-besaran sejak beberapa minggu lalu.

Lebih 300,000 orang terbunuh sejak konflik meletus di Syria pada Mac 2011, bermula dengan tunjuk perasaan antikerajaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:37 AM

No comments:

Post a Comment