Wednesday 21 December 2016

Bas bawa penduduk dibakar





ALEPPO – Sekumpulan lelaki bersenjata membakar lima buah bas yang sepatutnya digunakan dalam proses pemindahan penduduk awam dekat Idlib di Syria kelmarin.

Kejadian itu menyukarkan lagi perjanjian untuk membenarkan beribu-ribu penduduk berpindah keluar dari kawasan terakhir yang dikuasai kumpulan penentang di Aleppo.

Rakaman video di internet menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjata bersorak selepas membakar lima bas berwarna hijau yang akan digunakan untuk memindahkan penduduk di dua perkampungan Syiah di Al-Foua dan Kefraya, luar Aleppo.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, proses pemindahan dekat Idlib itu terpaksa ditangguhkan akibat insiden tersebut.

Media rasmi kerajaan Syria menuduh kumpulan penentang yang memerangi Presiden Bashar Al-Assad bertindak membakar bas-bas itu.

Namun, seorang pegawai kanan kumpulan penentang sebaliknya menyatakan bahawa pejuang pro-Bashar bertanggungjawab atas perbuatan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak lima buah bas yang sarat dengan penumpang ditahan selama beberapa jam semasa meninggalkan Aleppo sebelum tiba di wilayah dikuasai kumpulan penentang di luar bandar itu dalam perjalanan sejauh 5 kilometer.

Sebagai balasan membenarkan pemindahan orang awam di kawasan dikuasai mereka di timur Aleppo, kumpulan penentang yang mengamalkan ajaran Sunnah bersetuju membenarkan penduduk Syiah di Al-Foua dan Kefraya berpindah.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, lebih 3,000 orang meninggalkan kubu terakhir kumpulan penentang di Aleppo selepas proses pemindahan itu mengalami kelewatan beberapa jam

“Sebanyak 20 bas yang membawa penduduk dari timur Aleppo tiba di kawasan dikuasai penentang,” kata Dr. Ahmad Dbis yang mengetuai pasukan doktor dan sukarelawan menyelaraskan operasi pemindahan tersebut.

“Sebanyak 25 kenderaan lain tiba kurang dua jam kemudian menjadikan bilangan penduduk yang dipindahkan berjumlah 3,000 orang,” tambahnya. - Reuters/AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4TTbw4VOf
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment