Sunday, 25 December 2016

Pesawat Russia bedil Idlib, Aleppo

AHAD, 25 DISEMBER 2016 @ 4:43 PM


DAMSYIK: Pesawat Russia meningkatkan serangan di beberapa bandar di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak dan kawasan pedalaman Aleppo, dua hari selepas pemindahan pemberontak dari kawasan terakhir ditawan mereka di utara Aleppo.

Sekurang-kurangnya lapan serangan menyasarkan Binish, Saraqeb dan Jisr al Shaqour, bandar utama di Idlib. Ada laporan kematian dalam kalangan penduduk awam.

Idlib menjadi sasaran serangan bom ketika timur Aleppo berhadapan peningkatan serangan udara sehingga pertahanan pemisah runtuh dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian pemindahan.

Tentera Syria memberi petunjuk kempen besar-besaran seterusnya selepas kejayaan di Aleppo bertujuan mengusir pemisah dari kubu kuat mereka di Idlib, lokasi kebanyakan briged dalam pakatan dikenali sebagai Jaish al Fateh beroperasi.

Penduduk dan pemisah berkata, pesawat Russia dan Syria juga melancarkan serangan besar-besaran terhadap wilayah di barat dan selatan pedalaman Aleppo pada hari kedua sejak pemberontak terakhir meninggalkan kawasan dikuasai mereka di bandar raya itu.

Mereka membedil bandar Khan al Asal, kira-kira 14 kilometer ke barat Aleppo, dengan bom berangkai ketika serangan turut dilancarkan di Hreitan dan Andan. Bandar berhampiran, Atareb juga diserang.

Walaupun tentera Syria, dengan bantuan militia Iran, menguasai seluruhnya Aleppo selepas Russia melancarkan ratusan serangan, sebahagian besar barat dan selatan pedalaman bandar raya itu masih dikuasai pemisah.

Pemisah berkata, mereka berjaya menangkis serangan militia semalam untuk mendapatkan wilayah Rashideen di barat Aleppo.

Tentera Syria berterusan mengepung kawasan di timur Aleppo yang jatuh ke tangan mereka Khamis lalu. - Reuters

1 comment: