Tuesday 13 December 2016

Penentang Bashar ditawar laluan selamat








Orang awam dari kawasan dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo tiba di pos kawalan tentera rejim Bashar di Al-Hawoz pada Sabtu lepas. - AFP

ALEPPO, Syria – Kumpulan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad di Syria menerima cadangan disokong Amerika Syarikat (AS) untuk mereka dan penduduk awam meninggalkan bandar Aleppo melalui laluan selamat yang dijamin oleh Rusia, kata beberapa pegawai kumpulan penentang kelmarin tetapi Moscow menafikan persetujuan itu.

Sekiranya cadangan itu dipersetujui oleh semua pihak, ia akan menamatkan perang selama empat tahun di Aleppo.

Kepungan dan pengeboman ke atas Aleppo terutamanya di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang telah mencetuskan krisis kemanusiaan.

Tiga pegawai kumpulan penentang di Aleppo membe­ritahu agensi berita Reuters bahawa surat mengenainya telah diterima oleh mereka. Ia menawarkan pengunduran ‘terhormat’ untuk mereka beredar ke kawasan pilihan sendiri.

Kumpulan-kumpulan penentang itu masih belum memberikan maklum balas mereka. Namun, jika cada­ngan itu diterima sepenuhnya, ia akan memberikan kemenangan terbesar buat Bashar dan sekutunya yang terdiri daripada Rusia, Iran serta militia Syiah dalam perang saudara selama enam tahun di Syria.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan Daesh menawan semula bandar purba Palmyra kelmarin membuktikan kesukaran yang dihadapi Bashar untuk mengekalkan pemerintahannya di seluruh Syria walaupun selepas berjaya menawan kembali Aleppo.

Tentera Bashar menawan semula Palmyra daripada militan Daesh pada Mac lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia menyatakan bahawa ia belum mencapai sebarang persetujuan dengan AS berhubung cadangan tersebut.

Menurut Moscow, rundi­ngan mengenainya di masih berlangsung di Geneva. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4Sgq39uFr
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment