Wednesday 7 September 2016

Tentera Syria didakwa gugurkan ‘bom klorin’


7 SEPTEMBER 2016
Tentera Syria didakwa gugurkan ‘bom klorin’


Tentera Syria didakwa gugurkan ‘bom klorin’
ALEPPO – SYRIA. Tentera kerajaan Syria didakwa telah menggugurkan bom tong yang mengandungi klorin dari helikopter di pinggir bandar Aleppo sehingga mencederakan 80 orang awam.

Pekerja sukarelawan kecemasan memaklumkan bahawa orang awam mengalami kesukaran untuk bernafas selepas serangan di kawasan Sukari tersebut.

Dakwaan tersebut tidak dapat disahkan secara bebas dan siasatan yang diterajui oleh PBB mendapati kerajaan Syria telah menggunakan klorin sekurang-kurangnya sebanyak dua kali.

Selain itu, kerajaan Syria pula menafikan mereka menggunakan senjata kimia ke atas orang awam.

Pekerja Pertahanan Awam Syria, Ibrahem Alhaj berkata dia telah tiba di lokasi kejadian serangan itu tidak lama selepas helikopter menggugurkan tong yang mengandungi empat silinder klorin.

Pasukan tindakan kecemasan sukarelawan yang beroperasi di kawasan pembangkang  telah memuat naik video di laman Facebook bagi menunjukkan keadaan kanak-kanak menghadapi masalah untuk bernafas dan terpaksa menggunakan topeng oksigen untuk bernafas.

Selain itu, kumpulan itu juga menuduh kerajaan turut melakukan serangan klorin lain pada Ogos lalu.

Rusia yang merupakan sekutu kepada Syria menuduh kumpulan pemberontak yang telah menembak peluru mengandungi gas beracun di kawasan berkenaan.

Klorin merupakan bahan kimia industri yang sama namun penggunaannya dalam senjata telah diharamkan oleh Konvensyen Senjata Kimia.

Menurut PBB, rakyat Syria kembali diasak keganasan setelah tempoh bertenang awal tahun ini.

Difahamkan, tempoh bertenang pada Febuari lalu telah membenarkan beberapa bandar menerima bantuan pertama mereka namun ia hanya bertahan selama beberapa minggu.

Menurut laporan, 600,000 rakyat Syria kini hidup dalam kepungan dengan 300,000 yang lain terperangkap di bandar Aleppo.- BBC

No comments:

Post a Comment