Monday 25 March 2013

Imam prokerajaan Syria selamat disemadikan



BEIRUT 24 Mac - Beribu-ribu penyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad menghadiri upacara pengebumian ulama terkemuka Syria, Dr. Mohammed Saeed Ramadan al-Bouti di masjid purba Umayyad, Damsyik, semalam.
Al-Bouti dikebumikan bersebelahan dengan makam pahlawan Islam terkenal, Salah al-Din Yusuf ibn Ayyub atau dikenali sebagai Saladin di Barat, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan aktivis pembangkang.
Beliau yang merupakan imam Masjid Umayyad yang dilantik oleh kerajaan, meninggal dunia dalam serangan bom di sebuah masjid di Damsyik yang mengorbankan sekurang-kurangnya 42 orang pada Khamis lalu.
Upacara pengebumian itu diadakan dengan kawalan keselamatan ketat yang menutup jalan-jalan raya dan menyebabkan kesesakan di seluruh Damsyik.
Aktivis pembangkang melihat al-Bouti yang merupakan ulama Sunah sebagai seorang yang digunakan oleh kerajaan Assad untuk mendapatkan pengiktirafan daripada pengikut Sunah yang menjadi penduduk majoriti di Syria.
Mereka menyuarakan kemarahan berhubung keputusan mengebumikan al-Bouti bersebelahan dengan pahlawan Islam itu di media sosial.
Sementara itu, pemberontak Syria semalam menawan sebuah pangkalan udara utama di wilayah Daraa, barat daya Syria, dua minggu selepas berlaku pertempuran sengit dengan tentera kerajaan.
"Kumpulan pemberontak dari Barisan al-Nusra, Briged al-Yarmuk dan beberapa kumpulan lain berjaya menawan Pangkalan 38 berhampiran Saida, bandar yang menjadi penghubung antara Damsyik dan Amman," kata Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130325/lu_05/Imam-prokerajaan-Syria-selamat-disemadikan#ixzz2OW3lvm6L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment