Monday 6 May 2013

Israel serang Syria



Cahaya berwarna jingga dipercayai terhasil akibat serangan udara Israel, menerangi pusat penyelidikan ketenteraan di Damsyik, Syria, semalam. - REUTERS
BEIRUT 5 Mei - Israel, hari ini melancarkan serangan di ibu negara Syria dengan sasaran ditujukan ke atas penghantaran bekalan peluru berpandu buatan Iran yang dipercayai dalam perjalanan dihantar kepada pergerakan Hezbollah di Lebanon.
Serangan kedua Israel dalam tempoh 48 jam itu menandakan peningkatan campur tangan rejim Zionis Israel itu dalam konflik Syria.
Serangan itu berlaku selepas media rasmi Syria melaporkan peluru berpandu Israel menyerang sebuah pusat penyelidikan dekat Damsyik, menyebabkan ramai terkorban dalam letupan.
Sumber memberitahu agensi berita Associated Press bahawa serangan dilancarkan kelmarin menyasarkan peluru berpandu Fatah 110 yang mempunyai sistem pemanduan tepat berbanding apa yang dimiliki oleh Hezbollah.
Israel sebelum ini pernah menyatakan bahawa rejim Zionis Israel itu tidak akan membenarkan senjata canggih dihantar kepada Hezbollah melalui Syria.
Agensi berita Syria, SANA awal pagi ini melaporkan beberapa letupan berlaku berdekatan pusat penyelidikan Jamraya berdekatan Damsyik dan sejumlah kematian dilaporkan.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria juga melaporkan beberapa letupan kuat di Jamraya yang merupakan pusat penyelidikan saintifik dan ketenteraan di barat laut Damsyik.
Satu rakaman video amatur yang didakwa merakam serangan di Damsyik menunjukkan satu letupan api yang menerangi langit pada waktu malam.
Video itu kelihatan asli dan sama dengan laporan Associated Press. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_01/Israel-serang-Syria#ixzz2SW2jFGm4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment