Saturday 15 June 2013

AS bakal tawar bantuan kepada pemberontak Syria


Tiga anggota tentera pemberontak, lari bagi mengelak daripada ditembak penembak tepat di Deir al-Zor, Syria, kelmarin. - Reuters
WASHINGTON 14 Jun - Amerika Syarikat (AS) semalam menuduh Syria menggunakan senjata kimia ke atas pemberontak dan mengumumkan akan menawarkan 'sokongan ketenteraan' kepada kumpulan tersebut yang menentang Presiden Bashar al-Assad.
AS mendakwa, lebih 150 orang terbunuh dalam serangan senjata kimia di Syria, sekali gus bermakna negara itu telah melanggar 'garis merah' yang ditetapkan Presiden Barack Obama dalam krisis tersebut.
Namun, Washington masih belum memutuskan untuk melaksanakan zon larangan terbang ke atas Syria yang terlibat dengan krisis perang saudara, mengorbankan lebih 90,000 orang sejak tercetus pada Mac 2011, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Pasukan perisikan kami mendapati, Assad menggunakan senjata kimia termasuk gas sarin, dalam skala kecil terhadap pemberontak pada tahun lalu.
"Pasukan perisikan itu menganggarkan kira-kira 100 hingga 150 orang maut akibat serangan senjata kimia di Syria.
"Obama sebelum ini menyatakan bahawa penggunaan senjata kimia akan mengubah pendiriannya," kata Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Ben Rhodes dalam satu kenyataan.
Dalam satu sidang akhbar, Rhodes berkata, Washington telah berkongsi maklumat yang diperolehi itu dengan Rusia, tetapi Moscow masih belum bersetuju bahawa Assad perlu meletak jawatan.
Namun, beliau tidak menyatakan sama ada AS secara langsung akan membekalkan senjata kepada pemberontak Syria, tetapi Obama 'akan berunding dengan Kongres berhubung isu itu dalam tempoh beberapa minggu'.
"AS dan masyarakat antarabangsa mempunyai banyak kaedah tindak balas lain seperti melalui undang-undang, kewangan, diplomatik dan ketenteraan, tetapi kami juga sedang bersiap sedia dengan rancangan lain.
"Setakat ini, Obama telah membuat keputusan untuk menyediakan lebih banyak sokongan kepada pemberontak, termasuk sokongan secara langsung seperti ketenteraan," ujar Rhodes. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130615/lu_06/AS-bakal-tawar-bantuan-kepada-pemberontak-Syria#ixzz2WES0MWMS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment