Friday 30 August 2013

AS kerah kapal perang kelima Mediterranean


WASHINGTON 30 Ogos - Tentera Amerika Syarikat (AS) mengerahkan kapal pemusnah kelima ke Laut Mediterranean, kata seorang pegawai pertahanan.
Pegawai itu, semalam berkata, kapal USS Stout yang mempunyai kelengkapan peluru berpandu kawalan jauh itu kini bergerak ke bahagian timur laut tersebut bagi menggantikan kapal Manan.
''Kapal pemusnah lain yang sudah berada di rantau itu ialah Ramage, Barry dan Gravely melakukan rondaan di Laut Mediterranean dan boleh melancarkan peluru berpandu Tomahawk ke arah Syria jika diarahkan oleh Presiden, Barack Obama,'' katanya.
Dalam pada itu, White House, semalam menunjukkan tanda-tanda Obama akan mengambil tindakan satu pihak dalam melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Syria, berikutan keputusan Parlimen Britian menolak Britain menyertai tindakan tersebut dan ketiadaan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pembantu Presiden itu berkata, Obama mempercayai kerajaan Syria perlu menerima balasan kerana menggunakan senjata kimia, tindakan yang dilihat memberi ancaman kepada keselamatan negara ini.
Rancangan AS adalah untuk membina satu perikatan antarabangsa 'terhad' untuk menyerang Syria ekoran tindakan Syria menggunakan senjata kimia di luar Damsyik pada minggu lepas, mengalami tamparan hebat apabila Parlimen Britain menolak cadangan tersebut.
Pegawai AS, awal semalam memberi petunjuk bahawa Obama mungkin mengambil tindakan satu pihak jika perlu, namun keberangkalian itu semakin meningkat berikutan keputusan Parlimen Britain itu.
Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan AS, Caitlin Hayden berkata, keputusan Obama akan dibuat berasaskan kepentingan negara.
''Beliau percaya ada kepentingan asas bagi AS menghukum mana-mana negara yang melanggar norma-norma berhubung senjata kimia,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130831/lu_01/AS-kerah-kapal-perang-kelima-Mediterranean#ixzz2dYfncwX7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment