Friday 30 August 2013

Rejim Bashar guna bom api?

Rejim Bashar guna bom api?Pasukan perubatan Turki membantu mangsa serangan senjata kimia yang dihantar ke sempadan. Gambar kecil: Kesan melecur teruk ini dipercayai berpunca daripada serangan bom napalm.

ANKARA - TURKI . Pakatan pembangkang Syria, kelmarin mendakwa tentera rejim Presiden Bashar al-Assad telah menggugurkan bom napalm (bom api yang diperbuat daripada petrol berbentuk jeli) dan bom fosforus putih untuk menyasarkan orang awam di luar Aleppo.

Dakwaan itu didedahkan ketika Turki mula menghantar pasukan tambahan untuk membantu mangsa senjata kimia yang dihantar ke sempadan negara itu selepas serangan gas beracun di Damsyik pada 21 Ogos lalu.

Direktorat Pengurusan Bencana dan Kecemasan, Mustafa Aydogdu memaklumkan bahawa mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kes berkaitan serangan senjata kimia.

"Kami mempunyai pasukan pakar yang telah ditempatkan di Kilis, Hatay dan Sanliurfa," katanya.

Difahamkan, kebanyakan pelarian yang merentasi sempadan untuk memasuki Turki menerusi Cilvegozu iaitu sempadan paling hampir dengan Aleppo mengalami kesan melecur yang teruk.

"Kita tidak boleh membuat tanggapan sendiri bahawa  kesan mengerikan  yang dialami  kebanyakan penduduk Syria berpunca daripada serangan senjata kimia. Pakar kami masih menjalankan ujian untuk mengesahkan perkara itu," jelasnya lagi, dipetik dari laporan DailyMail.

Pada masa ini, kira-kira 200,000 pelarian Syria ditempatkan di puluhan kem penempatan sementara di negara tersebut.

Menurutnya, kebanyakan penempatan sementara itu semakin sesak dan kem di Viransehir masih boleh menerima kemasukan kira-kira 20,000 pelarian tambahan.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan sekutunya menuduh rejim Bashar sebagai dalang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia tersebut yang telah meragut ratusan nyawa di negara terbabit.

Susulan daripada insiden itu, AS merancang untuk campur tangan dengan melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria, namun keputusan itu ditentang keras oleh kebanyakan negara antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, kumpulan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihantar untuk mengumpulkan bukti berhubung serangan senjata kimia itu dilaporkan akan meninggalkan negara bergolak terbabit selewat-lewatnya Sabtu ini. 

No comments:

Post a Comment