Tuesday 10 September 2013

Assad nafi dalangi serangan kimia


Gambar merakamkan mayat penduduk Syria termasuk kanak-kanak bergelimpangan dipercayai terbunuh dalam serangan gas beracun di Saqba di pinggir Damsyik pada 21 Ogos lalu. - REUTERS
WASHINGTON 9 Sept. - Presiden Syria, Bashar al-Assad menafikan beliau mendalangi serangan kimia ke atas rakyatnya dalam satu kejadian serangan dekat Damsyik bulan lalu.
Assad membuat pengakuan itu dalam satu temu bual dengan stesen televisyen CBS, semalam.
CBS melalui program berita, Face the Nation melaporkan, Assad turut menyatakan bahawa bukti yang dikemukakan oleh Barat tidak kukuh bagi menunjukkan berlakunya serangan kimia itu.
''Tiada bukti menunjukkan saya menggunakan senjata kimia ke atas rakyat saya sendiri,'' katanya dalam temubual di Damsyik, Syria.
Temubual penuh tersebut akan disiarkan melalui jaringan CBS dan rancangan temubual PBS, Charlie Rose, hari ini.
Rose berkata, beliau bertemu dengan Assad di Damsyik.
Petikan laporan Face the Nation merupakan ringkasan temubual tersebut dan tidak mengandungi sebarang audio atau video Assad.
Sementara itu di London, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menolak dakwaan Assad yang menyatakan tiada bukti beliau menggunakan senjata kimia berkenaan.
''Bukti yang ada sudah jelas,'' kata Kerry kepada wartawan.
Beliau berkata, kawalan ke atas senjata kimia di Syria terletak di bawah kawalan Assad, abangnya, Maher dan seorang jeneral tentera.
''Senjata kimia di Syria dikawal dengan ketat oleh kerajaan pimpinan Assad. Tiga orang yang mengawal pergerakan dan penggunaan senjata kimia dan mereka adalah Assad, Maher dan seorang jeneral,'' katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130910/lu_04/Assad-nafi-dalangi-serangan-kimia#ixzz2eRVAxbKc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment