Wednesday 11 September 2013

Bukti sahkan Syria lancar serangan kimia - HRW


NEW YORK 10 Sept. - Tentera Syria kemungkinan besar adalah dalang di sebalik serangan menggunakan senjata kimia yang mengorbankan beribu-ribu orang di pinggir Damsyik pada bulan lalu, menurut Human Rights Watch (HRW) hari ini.
Laporan setebal 22 halaman yang dikeluarkan oleh kumpulan hak asasi manusia itu merumuskan bahawa terdapat bukti 'kuat yang menunjukkan' tentera Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan itu.
Laporan itu dikeluarkan selepas HRW menganalisis kenyataan saksi, maklumat daripada sumber serangan, sisa-sisa senjata yang digunakan dan mangsa serangan di Ghouta pada 21 Ogos itu.
"Sisa roket dan gejala dialami mangsa memberikan bukti kukuh tentang penggunaan senjata kimia.
"Bukti ini dengan kuat menunjukkan bahawa tentera Syria melancarkan serangan roket yang dilengkapi dengan peledak kimia," kata Pengarah Kecemasan HRW, Peter Bouckaert.
Menurut HRW, jenis roket dan pelancar yang digunakan dalam serangan itu turut dikenal pasti 'hanya dimiliki dan digunakan oleh' tentera Syria.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam melihat satu peluang kejayaan dalam krisis Syria selepas Rusia mencadangkan sekutunya itu menyerahkan senjata kimia mereka untuk dimusnahkan, sekali gus boleh menghentikan tindakan ketenteraan oleh AS.
Katanya, persetujuan Rusia untuk menyerahkan senjata kimia Syria untuk dikawal oleh antarabangsa mungkin tidak dapat menyelesaikan konflik dalaman di negara itu.
"Namun, jika usul itu dapat dilaksanakan tanpa mengambil tindakan ketenteraan, ia akan menjadi pilihan saya," kata Obama dalam temu bual dengan CNN.
Pemimpin Parti Demoktratik di Dewan Senat, Harry Reid dalam pada itu menangguhkan undian berhubung campur tangan tentera oleh AS di Syria yang sebelum ini dijadual diadakan esok.
Menurut Reid, penangguhan itu dibuat bagi memberi peluang anggota dewan menilai cadangan Rusia tersebut.
Beliau tidak memberikan tarikh baharu, tetapi menyatakan undian tetap akan diadakan pada minggu ini. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130911/lu_06/Bukti-sahkan-Syria-lancar-serangan-kimia---HRW#ixzz2eaSxdcY3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment