Friday 6 September 2013

Krisis pelarian terburuk dunia


Gambar bertarikh 18 Julai lalu, menunjukkan pemandangan udara kawasan kem pelarian Zaatari di bandar Mafraq, sehingga muncul bandar kelima terbesar Jordan berikutan kemasukan pelarian Syria yang semakin bertambah. - REUTERS
GENEVA 4 Sept. - Konflik perang saudara di Syria telah mewujudkan kira-kira dua juta pelarian, sekali gus muncul krisis pelarian terburuk di dunia ketika ini.
Dianggarkan, kira-kira 5,000 rakyat Syria keluar daripada negara itu setiap hari termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.
Kebanyakan daripada mereka terpaksa mencari perlindungan di negara jiran seperti Lebanon, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir demi menyelamatkan diri.
"Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan tragedi di Syria ketika angka pelarian tidak menunjukkan tanda-tanda akan berkurang.
"Syria kini menjadi negara yang memiliki jumlah pelarian tertinggi di dunia, bencana kemanusiaan paling mengaibkan dan penderitaan serta angka pelarian paling besar dalam sejarah moden," kata Pengarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres.
Menurut UNHCR, purata kira-kira 5,000 rakyat Syria melarikan diri dari negara itu setiap hari dengan angka itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berkurangan.
Guterres berkata, krisis perang saudara di Syria telah menyebabkan lebih enam juta rakyat negara itu kehilangan tempat tinggal dengan dua juta lagi melarikan diri ke negara jiran.
Katanya, setakat semalam, lebih 716,000 pelarian Syria mendaftar atau dalam proses mendaftar di Lebanon, negara yang hanya mempunyai 4.5 juta penduduk.
Negara-negara lain yang menerima pelarian Syria termasuklah Jordan (515,000 orang), Turki (460,000), Iraq (168,000) dan Mesir (110,000).
Di Jordan sahaja, kem pelarian Zaatari yang menempatkan pelarian-pelarian Syria kini semakin sesak selain muncul sebagai bandar kelima terbesar di negara tersebut disebabkan jumlah pelarian yang semakin meningkat.
Guterres berkata, keadaan itu memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara yang menerima pelarian ketika negara-negara tersebut turut berdepan masalah ekonomi dan politik.
Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya berhubung tindakan satu pihak ke atas Syria dan menyifatkan serangan ketenteraan tanpa kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah 'satu pencerobohan'.
Beliau bagaimanapun tidak menolak untuk menyokong resolusi Majlis Keselamatan PBB yang membenarkan tindakan ketenteraan jika dibuktikan 'tanpa ragu-ragu' bahawa kerajaan Syria menggunakan senjata kimia.
Dalam wawancara bersama The Associated Press dan televisyen Rusia, Channel 1, Putin berkata, jika terdapat bukti penggunaan senjata kimia, ia perlu dikemukakan kepada Majlis Keselamatan dan perlulah menyakinkan.
Beliau bagaimanapun berkata adalah terlalu awal untuk berbicara tentang apa tindakan yang akan diambil oleh Rusia jika AS melancarkan serangan tanpa kelulusan PBB. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130905/lu_04/Krisis-pelarian-terburuk-dunia#ixzz2e6nX5BNJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment